Skip to main
Logo Malaysiakini

Wakil Majlis Media jumpa KDN, bincang pertindihan kuasa

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Anggota Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia Norman Goh dan Zaharom Nain mengadakan pertemuan dengan wakil Kementerian Dalam Negeri di Parlimen, tengah hari semalam.

Daifahamkan pertemuan selama sejam itu dipengerusikan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan bertujuan menyelesaikan isu pertindihan kuasa berkenaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA).

Bercakap dengan Malaysiakini, Goh menyifatkan pertemuan itu sebagai "membuahkan hasil" namun enggan mengulas lanjut memandankan perinciannya diklasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Malaysiakini difahamkan wakil Kementerian Dalam Negeri dengan jelas menyatakan pihaknya tiada bantahan terhadap Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media.

Pada 1 Mac lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menafikan khabar angin wujud usaha untuk menghalang penubuhan sebuah majlis media, yang kini di sudah di peringkat akhir.

Dia juga menjelaskan majlis itu akan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan bukannya Kementerian Dalam Negeri.

Namun, dia berkata ada keperluan untuk "mengharmonikan" pertindihan kuasa dari segi penguatkuasaan undang-undang.

"...Kami pun ada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan. Majlis Media juga ada bahagian penguatkuasaan sendiri di mana kita nak harmonikan. Itu sahaja," katanya.

Saifuddin juga menafikan khabar angin yang kementeriannya merancang untuk meminda PPPA untuk mengawal portal berita dalam talian.

Dia juga menjelaskan yang tiada rancangan untuk memansuhkan akta itu, yang dilihat sebagai penghalang kepada kebebasan akhbar.

Pada Februari lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan kabinet telah meluluskan perangkaan akta berkaitan dengan penubuhan Majlis Media Malaysia.

Dia berkata Pejabat Peguam Negara akan meneliti RUU tersebut dengan jangkaan ia akan dibentang di Parlimen pada Jun ini.

'Pembunuhan perlahan-lahan'

Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berpandangan negara sedang menyaksikan "pembunuhan perlahan-lahan" ke atas reformasi berkaitan kebebasan media di bawah kepimpinan Fahmi.

Pemimpin Bersatu itu berkata demikian susulan kenyataan Fahmi bahawa kad perakuan media bukanlah lesen untuk menjadi wartawan.

"(Fahmi) seolah-olah cuba menafikan wujudnya polemik berkenaan hal ini. Sikap sambil lewa Fahmi seperti menghina para pengamal media di negara kita.

"Fahmi tidak perlu menjadi 'terpaling wartawan' dengan cuba mengajar pengamal media mengenai peranan mereka.

"Sebaliknya dia perlu turun ke lapangan bertemu wartawan dan pengamal media lebih kerap, supaya dia sedar bahawa semakin ramai yang tidak senang dengan sikap kerajaan yang sering mengekang kebebasan media," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful berkata Fahmi sepatutnya memberi perhatian terhadap usaha meringankan beban pengamal media, yang menurutnya tidak dilakukan pada masa ini.