Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri: Negara berdepan ketirisan subsidi diesel yang serius

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Negara kini sedang berdepan isu ketirisan subsidi diesel yang serius dan wujud kemungkinan terdapat pihak yang tidak layak namun masih menikmati subsidi itu, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Memberi contoh mengenai penggunaan diesel bersubsidi dalam negara, Amir berkata penggunaan itu adalah lebih kurang 6.1 bilion liter sebelum Covid-19 dan kini penggunaan diesel bersubsidi mencecah 10.8 bilion liter.

“Kalau kita kira peningkatannya ialah 70 peratus...jadi mana subsidi diesel itu pergi? Kita rasa buat masa sekarang ada kemungkinan besar subsidi itu berganjak kepada sektor yang tidak berhak mendapat subsidi.

“Tuan-tuan kalau membeli diesel daripada stesen petrol kita akan membayar RM2.15 per liter, tapi kalau kena bayar kadar komersial, jika anda dalam sebuah syarikat dan tidak layak untuk subsidi diesel anda perlu membawar lebih kurang RM3.48 per liter, jadi perbezaannya amat ketara,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Sindiket menyeludup diesel subsidi yang dipatahkan pihak berkuasa

Mengenai kemungkinan subsidi tersebut berganjak kepada sektor yang tidak berhak mendapat subsidi diesel, Amir berkata perkara itu mengakibatkan beban lebih besar kepada pengurusan kewangan negara.

“Ketirisan ini yang perlu kita hentikan. Duit kita bayar kepada syarikat yang tidak sepatutnya mendapat subsidi. Ia sepatutnya pergi kepada rakyat..untuk kita bina sekolah yang lebih elok, klinik serta infrastruktur lain yang lebih penting kepada rakyat.

“Kita kena tutup kelompongan yang ada dari segi ketirisan ini. Kita tengok dari segi jumlah subsidi diesel yang diberi tahun lalu lebih kurang RM20 bilion. Jadi kalau kita dapat potong setengah pun, Alhamdulillah,” katanya.

Dia berkata Kerajaan Madani akan berusaha untuk menjana hasil yang lebih, mengurangkan ketirisan dan menyalurkan dana ke saluran yang mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

Katanya lagi, Malaysia mempunyai peluang untuk keluar daripada kekangan ekonomi walaupun mengambil sedikit masa serta menekankan perlunya usaha berterusan untuk mencapai hasrat tersebut.

“Sebab itulah dari segi pihak kerajaan antaranya melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, kita telah berusaha untuk menarik pelabur datang ke Malaysia.

“Alhamdulillah tahun lepas kita lihat pelaburan diluluskan berada pada satu tahap yang tinggi dan tidak pernah lagi dicapai sebelum ini iaitu sebanyak RM329.5 bilion,” katanya lagi.

Dia berkata kerajaan turut memberi tumpuan untuk memperluaskan hasil dan usaha itu sedang dilakukan menerusi cukai perkhidmatan yang telah dinaikkan kepada lapan peratus berkuat kuasa 1 Mac lepas, berbanding enam peratus sebelum ini.

-Bernama