Skip to main
Logo Malaysiakini

Zakat fitrah Perak ditetapkan RM8, RM16 dan RM24

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Kadar bayaran zakat fitrah di Perak bagi tahun inii ditetapkan pada RM8, RM16 dan RM24.

Pegawai menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Wan Maizura Wan Zahari berkata kadar RM8 itu ialah bagi orang yang menggunakan beras special tempatan (5 peratus hancur dan ke bawah) dan yang seumpama atau setara.

"Bagi beras super import, beras perang, beras wangi dan yang seumpama atau setara, kadar bayaran ialah RM16.

"Bagi pengguna beras basmathi, beras pulut dan yang seumpama atau setara, kadarnya ialah RM24," katanya dalam kenyataan di Ipoh hari ini.

Tahun lalu kadar zakat fitrah Perak bagi ketiga-tiga pilihan penggunaan beras berkenaan ditetapkan masing-masing pada kadar RM7, RM14 dan RM21.

Wan Maizura berkata kaedah bayaran zakat fitrah boleh dilaksanakan melalui amil zakat fitrah sama ada di masjid, surau, lokasi tumpuan orang ramai seperti kompleks beli-belah, pasar terbuka, stesen minyak dan premis perniagaan serta pejabat kerajaan atau swasta yang terpilih.

"Amil zakat fitrah bertemu secara langsung dengan pembayar.

"Kaedah ini boleh dilaksanakan oleh amil zakat fitrah dengan bergerak dari rumah ke rumah bagi memudahkan ahli kariah melaksanakan ibadah zakat fitrah terutama warga emas," katanya.

Menurut Wan Maizura, bayaran zakat fitrah juga boleh dilakukan secara dalam talian menerusi medium Financial Process eXchange (FPX) MAIPk dengan melayari laman sesawang https://ezakat.maiamp.gov.my/, aplikasi GoPayZ, Shopee atau Maybank2u.

Pembayar boleh memuat turun penyata bayaran zakat fitrah menerusi sistem portal penyata zakat MAIPK di pautan https://online.maiamp.gov.my/zakatperak/ untuk simpanan dan cetakan.

"Penyata bayaran zakat fitrah boleh diperoleh selepas tiga hari transaksi dibuat," katanya.

- Bernama