Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pegawai bertubi-tubi tampar muka, duduk atas perut kadet TLDM'

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendengar keterangan bahawa seorang pegawai latihan duduk di atas perut kadet Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), J Soosaimanicckam dan menamparnya, sehari sebelum dia meninggal dunia enam tahun lalu.

Bekas pelatih kadet TLDM Anas Hakimi Mat @ Ahmad berkata, seorang pegawai bernama Leftenan Muda Ariff (tiada nama penuh dalam kertas kausa) melakukan perbuatan itu terhadap Soosaimanicckam, 27, semasa latihan kadet dengan kehadiran saki pada 18 Mei 2018.

Soosaimanicckam ditemui meninggal dunia pada keesokan harinya.

Semasa perbicaraan hari ini dalam kes saman kecuaian oleh keluarga si mati terhadap TLDM dan beberapa yang lain, Anas berkata dia berada di mahkamah untuk menuntut keadilan bagi mendiang.

Hakim Idah Ismail mempengerusikan perbicaraan tindakan sivil menuntut ganti rugi daripada defendan.

Selanjutnya, saksi berusia 30 tahun itu berkata Soosaimanicckam sering diasingkan daripada pelatih lain kerana si mati berkali-kali memohon untuk dikecualikan daripada latihan atas alasan perubatan.

Semasa pemeriksaan utama oleh peguam keluarga Zaid Malek, Anas mendakwa dia dan pelatih lain melakukan tekan tubi dan lompat katak apabila saksi melihat apa yang dilakukan Ariff terhadap Soosaimanicckam.

Saksi itu mendakwa mendiang menjadi sasaran kerana tidak dapat bersaing dengan pelatih lain dalam latihan kadet tentera laut.

“Defendan ke-10 Leftenan Dua Ariff, kejadian berlaku pada hari Jumaat, sehari sebelum kematian si mati. Ariff duduk di atas badan si mati, di atas perut, dan menampar muka si mati bertubi-tubi.

"Pada hari kejadian, kami berada di hadapan, dia (Soosaimanicckam) dipukul dan hampir semua orang yang menghadiri latihan melihat dia dipukul," kata Anas.

Saksi itu memberi keterangan seorang pegawai bernama Mejar Rahim datang ke tempat kejadian dan meredakan keadaan.

Anas memberitahu mahkamah mendiang sentiasa didiskriminasi atas sebab kaum, dengan beberapa permohonan untuk cuti sakit ditolak, seterusnya mendakwa bahawa dia dilabel 'Si Manja'.

Saksi itu berkata tidak lama selepas kematian Soosaimanicckam, dia telah dilepaskan daripada Tentera Laut berikutan jatuh sakit akibat keracunan berikutan meminum air yang tercemar oleh najis tikus. Anas kini seorang peguam.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam kanan persekutuan Nur Ezdlani Roheb, Anas tidak bersetuju bahawa tujuan mendiang diasingkan dan diberi layanan kasar untuk memantapkan disiplin dan semangat juang untuk negara.

Anas juga tidak bersetuju dengan peguam kerajaan persekutuan bahawa keterangannya mengenai sebab berkaitan kaum di sebalik layanan terhadap si mati hanyalah renungan selepas kejadian dan andaian semata-mata.

Perbicaraan di hadapan Hakim Idah disambung pada 17 April.

Pada 19 Mei 2021, bapa Soosaimanicckam, S Joseph, 71, memfailkan writ saman terhadap 15 defendan, termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), beberapa pegawainya, menteri pertahanan dan kerajaan persekutuan.

Keluarga itu mendakwa defendan gagal memberi rawatan tepat pada masanya kepada Soosaimanicckam, dan mendiang didakwa didera oleh beberapa defendan, termasuk Ariff.

Mahkamah Koroner di Ipoh pada Jun tahun lalu memutuskan keputusan terbuka berhubung inkues bagi menentukan punca kematian pegawai Soosaimanicckam.

Koroner Ainul Shahrin Mohamad juga memutuskan punca kematian Soosaimanicckam semasa menjalani latihan sebagai pegawai kadet di KD Sultan Idris, Lumut pada 19 Mei 2018 adalah disebabkan edema pulmonari (cecair dalam paru-paru).

Ainul Shahrin berkata menurut laporan mendiang terbuang air besar ketika mandi, sebelum tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut, dan disahkan meninggal dunia selepas itu.

Keputusan 'terbuka' bermaksud bukti tidak menjelaskan sepenuhnya punca dan keadaan kematian.

Keluarga si mati mempunyai rayuan yang belum selesai di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk membatalkan keputusan Koroner.

Pada 19 Mei 2018, Soosaimanicckam yang ketika itu berusia 27 tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Lumut.

TLDM dalam kenyataan media pada 20 Mei 2018 memaklumkan, Pegawai Kadet Graduan (PKG) itu mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapannya selepas selesai menjalani latihan fizikal, yang merupakan rutin harian pelatih pada pukul 12.20 tengah hari.

Susulan itu, Soosaimanicckam telah diberikan bantuan penafasan dan rawatan lanjut oleh doktor yang bertugas, sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.45 petang.

Mendiang melapor ke Kapal Diraja (KD) Sultan Idris bagi menjalani latihan kursus kelayakan pegawai graduan, pada 12 Mei 2018.

[Baca berita asal]