Skip to main
Logo Malaysiakini

KDN hanya respon kritikan berfakta, bukan tohmahan - menteri

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata pihaknya hanya akan memberikan maklum balas terhadap kritikan yang disertakan dengan fakta serta angka, bukan sekadar andaian atau tohmahan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata bahawa fakta dan angka menunjukkan bahawa individu yang memohon tidak akan menghadapi masalah untuk menerima kewarganegaraan sekiranya memenuhi semua prosedur ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Sebagai contoh, jumlah kes anak terdampar dimohon untuk mendapatkan kewarganegaraan sejak 2014 hingga 2023 adalah 142 permohonan. Kesemuanya diluluskan. Sementara, bagi kes anak terdampar melebihi usia bayi, KDN meluluskan hampir 98 peratus daripada jumlah 59,000 permohonan bagi tempoh yang sama.

"Baki belum diberi kelulusan bagi kes anak terdampar melebihi usia bayi adalah 14,000. Dan ini akan diproses permohonan dan dibuat keputusan seluruhnya dalam tempoh sembilan bulan (sebelum 31 dis 2024).

"Jadi, fakta ini menyanggah tuduhan kerajaan nafi hak warganegara foundling baby (anak yang dibuang)," katanya.

Untuk rekod, bagi isu anak terdampar permohonan perlu membuat secara kuatkuasa undang-undang (KKU) di bawah Perkara 19B Perlembagaan Persekutuan.

Bagi isu anak terdampar melebihi usia bayi permohonan perlu dibuat di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 15A ini termasuk bagi isu anak luar nikah, anak angkat dan anak terdampar.

Tempoh permohonan dipendek

Saifuddin mengakui isu utama selama ini dalam permohonan warganegara ialah tempoh yang panjang untuk mendapat keputusan.

Menurutnya, kaedah tempoh permohonan telah dipendekkan selepas dia mengambil alih kementerian.

"Masalah selama ini ialah pemohon menunggu lama berbelas tahun. Kaedah sekarang KDN akan buat keputusan dalam tempoh setahun.

"Saya sendiri membuat keputusan lebih 11,500 permohonan sepanjang Januari sehingga Disember 2023"

"Ini yang saya katakan KDN hanya berminat untuk respons berdasar fakta dan angka permohonan.

Namun, katanya terdapat elemen penting dalam memproses permohonan sebelum keputusan dapat dibuat.

"Antaranya, siasatan oleh pihak berwajib, pembuktian dokumen dan semakan bagi mengelak penipuan, kenyataan palsu atau menyembunyi fakta," katanya.

Terdahulu, Saifuddin memaklumkan kabinet memberikan persetujuan terhadap draf pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan.

Saifuddin berkata pihaknya berharap semua pindaan yang dicadangkan dapat diluluskan tahun ini.

"Hari ini saya telah bentangkan (cadangan draf pindaan) dan kabinet telah memberikan greenlight sepenuhnya," katanya.

Saifuddin berkata pihaknya akan menjalankan proses seterusnya, seperti mengadakan sesi penerangan kepada media, libat urus bersama tokoh dan badan sivil serta ahli parlimen yang akan mengundi untuk pindaan tersebut nanti.

Sebelum ini, aktivis mendakwa terdapat peruntukan dalam cadangan pindaan berkenaan yang bersifat regresif.

Antara yang dibangkitkan, adalah cadangan menghapuskan pemberian kewarganegaraan automatik kepada anak yang dibuang dan kemudian dipelihara oleh pihak lain, anak-anak terbiar dan anak-anak pemastautin tetap.

Pengkritik juga berkata proses birokrasi mengambil masa yang lama malah tidak menjamin anak yang dilahirkan itu akan diberikan kerakyatan kelak.