Skip to main
Logo Malaysiakini

MIC bidas pegawai didakwa 'kurang ajar', timb menteri nafi

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC (CWC) L Sivasubramaniam menggesa Timbalan Menteri Perpaduan Negara K Saraswathy mengambil tindakan tegas terhadap pegawainya yang didakwa menggunakan kata-kata kurang sopan terhadap seorang ibu yang meminta bantuan kewangan berhubung pendidikan anaknya.

Ini selepas tular dakwaan di media sosial bahawa seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) kepada timbalan menteri itu berkata 'kenapa hantar anak belajar untuk menjadi doktor, sekiranya tidak mempunyai wang'.

Menurut Sivasubramaniam lebih kurang tiga minggu lalu, wanita tersebut meminta bantuan kewangan untuk anaknya yang kini belajar dalam bidang perubatan di Rusia.

"Semasa perjumpaan dengan pegawai PTTK itu, pegawai itu mengambil semua dokumen dan berjanji akan menelefon setelah berbincang dengan timbalan menteri. Namun, ibu itu terpaksa memanggil pegawai tersebut setelah tidak menerima sebarang panggilan seperti dijanji.

MIC desak siasat pegawai

"Semasa perbualan, pegawai itu memberitahu bahawa tidak dapat memberikan bantuan RM15,000 seperti yang diminta. Maka, ibu tersebut sekali lagi meminta bantuan seberapa banyak yang boleh.

"Bagaimanapun, pegawai meninggikan suara berkata 'ada lebih ramai masyarakat India lebih susah daripada kamu, kenapa hantar anak untuk belajar doktor sekiranya tidak mempunyai wang'.

"Bagi saya, tindakan pegawai itu memang 'kurang ajar'. Memang ada cara untuk memberitahu perkara sebegini.

"Kami MIC nak pegawai itu disiasat," kata Sivasubramaniam kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Saraswathy (gambar atas) menafikan dakwaan berkenaan yang disifatkannya sebagai bermotif politik.

"Ini adalah berita palsu dan rekaan yang bermotifkan politik untuk memburukkan kami.

"Kami akan memberi penerangan penuh pada hari Isnin jam 2.00 petang di pusat khidmat saya," kata timbalan menteri itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Namun, Sivasubramaniam berkata dia telah bertemu wanita tersebut semalam, selepas dia ke pejabat MIC untuk membuat permohonan mendapatkan bantuan kewangan di Institut Kemajuan Pendidikan Maju (MIED), cabang pendidikan MIC.

Laporan polis

"MIC sebelum ini memberi bantuan pinjaman RM15,000 kepada anak dia. Sekarang, dia mohon lagi peruntukan RM15,000," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, pegawai PTTK berkenaan turut menyangkal dakwaan meninggikan suara dan melontarkan kata-kata kurang sopan.

"Saya dan timbalan menteri akan menjelaskan pada sidang media pada hari Isnin.

"Saya juga akan membuat laporan polis mengenai tuduhan palsu ini yang telah berlaku sejak dua minggu lalu," katanya.

‘Malang, dimarahi pegawai’

Sementara itu, wanita yang meminta bantuan itu pula berkata dia berasa kecewa dan sedih dengan kata-kata pegawai tersebut.

"Setiap ibu bapa ada cita-cita untuk melihat anak mereka berpelajaran tinggi mahu pun ada duit atau tidak. Semasa kami hantar anak kami ke Rusia, kami tidak menghadapi isu kewangan.

"Tetapi, sekarang keadaan kami tidak begitu baik. Itu yang saya pergi jumpa timbalan menteri untuk memohon bantuan kewangan.

"Malangnya, saya dimarah oleh pegawai dia. Apakah anak kami tidak layak belajar doktor hanya kerana kami tidak ada wang," katanya.

Menurutnya, anaknya kini penuntut perubatan tahun empat memerlukan RM35,000 untuk semester ini.

"Kami dah sediakan RM20,000. Baki RM15,000 saya minta bantuan timbalan menteri. Tapi, ditolak," jelasnya.