Skip to main
Logo Malaysiakini

Pihak pertikai perlu fahami prinsip kod etika wartawan - Teo

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pihak yang ingin mempertikaikan mengenai Kod Etika Wartawan Malaysia perlu memahami terlebih dahulu prinsip-prinsip yang terkandung di dalam kod etika tersebut sebelum membuat dakwaan ia akan menyekat kebebasan media.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kod etika tersebut telah dikemas kini dan akan menjadi panduan bagi pemegang Kad Perakuan Media (KPM) dalam melaksanakan tugas mereka.

Beliau berkata kod etika itu mengandungi prinsip-prinsip kewartawanan yang sangat umum dan menegaskan kewartawanan yang baik dan adil.

“Saya rasa orang yang pertikaikan, sila baca (dahulu) kod ini, ia bukan dokumen baharu, ia telah diwujudkan oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI) sejak 1989 tetapi ia tidak pernah dikemas kini jadi usaha (dilakukan) oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) selepas penglibatan dengan MPI dan badan bukan kerajaan lain.

“Kalau kita baca kod etika ini, anda akan setuju, sebenarnya tiada apa-apa yang saya rasa kontroversi, prinsip-prinsip yang sangat umum dan paling penting ialah, ia menegaskan kepada laporan yang baik, berita yang adil, semua yang kita harapkan oleh seseorang wartawan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Sumbangan Back To School di sebuah pusat beli-belah di Kulai semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak bahawa Kod Etika Wartawan Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini akan menyekat kebebasan media.

Pada 20 Feb lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang mengandungi lapan etika utama, antaranya wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, hendaklah telus dan berintegriti serta berlaku adil dalam menyampaikan informasi.

Etika lain ialah pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi, kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.

Selain itu, wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka dan memberikan keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.

- Bernama