Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak mudah haramkan parti berasaskan kaum dan agama, kata pakar

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

WAWANCARA | Pakar sains politik, Wong Chin Huat berkata langkah mengharamkan parti politik yang memperjuangkan satu-satu kaum atau agama bukanlah cara yang praktikal untuk masa depan Malaysia, walaupun idea itu kedengaran menarik.

Bercakap kepada Malaysiakini mengenai keperluan tindakan proaktif untuk membentuk hala tuju politik negara yang masih belum jelas, dia berkata sekiranya langkah sedemikian diambil, parti politik berkemungkinan besar menukar imej secara permukaan tetapi tetap tertumpu kepada tujuan yang sama.

“Idea mengharamkan parti berasaskan kaum dan agama menarik minat ramai golongan liberal tetapi ia tidak akan berkesan dan boleh dilaksanakan.

"Sekiranya terdapat larangan undang-undang sedemikian, parti tidak akan ragu-ragu untuk menghapuskan kedudukan kaum atau agama dalam perlembagaan mereka tetapi masih memperjuangkan perkara yang sama.

“Walaupun undang-undang menuntut keahlian berbilang kaum, parti tidak akan menghadapi masalah untuk merekrut sesetengah ahli 'perhiasan' untuk memenuhi keperluan itu.” katanya.

Dia juga berkata ada banyak parti yang membina asas dengan bergantung kepada kepada satu-satu kaum dan agama.

“Sama ada daripada kerajaan dan pembangkang, parti seperti Umno dan PAS akan menentangnya. Dan ia akan menjadi satu lagi 'ribut Icerd'. Jadi, siapa yang akan lakukannya?

“Jika kita mahukan politik etno-agama semakin berkurang, kita harus memikirkan tentang kuasa pasaran berbanding undang-undang.

“Untuk mengurangkan penegasan kaum, agama dan bahasa dalam politik, kita hanya perlu menggalakkan sisi lain yang akan merentasi identiti ini, ia boleh jadi kelas, generasi, jantina atau alam sekitar berbanding pembangunan.

“Itu memerlukan perubahan sistem pilihan raya dan reformasi parlimen dan dewan-dewan perundangan kita untuk memberi ruang kepada isu-isu bukan berkaitan identiti.

"Secara ringkasnya, kerana demokrasi berbilang parti diasaskan pada perpecahan, kita perlu membina perpecahan yang sihat dan produktif, bukan bergantung kepada perpaduan atau membiarkan perpecahan semula jadi (kaum, agama, bahasa, wilayah) mendominasi politik kita," katanya.

Wong bagaimanapun berhati-hati apabila ditanya sama ada penggabungan parti Pakatan Harapan seperti DAP, PKR dan Amanah untuk mewujudkan sebuah parti berbilang kaum dan agama yang besar akan memberi manfaat kepada pengundi dan parti itu sendiri.

“Penggabungan akan berjaya jika parti-parti terbabit mempunyai pilihan yang sama atau sebahagian besarnya serupa dan parti baru itu mempunyai mekanisme inklusif dalam memilih pemimpin mereka, supaya pemimpin daripada parti-parti yang digabungkan tidak akan berakhir dalam persaingan sengit sesama sendiri.

“Penggabungan PKR dan Amanah mungkin berjaya jika kebimbangan itu ditangani.

“Penggabungan DAP dan PKR mungkin tidak produktif kerana parti baru yang terbentuk itu mungkin terlalu biasa dan kurang menarik kepada landasan asal kedua-dua parti tersebut.

“Kadang-kala, perbezaan citarasa adalah perlu kerana pengundi mungkin mempunyai pilihan yang jauh berbeza walaupun mereka melihat manfaat kerjasama yang rapat.

"Ibaratnya, kadang-kadang seseorang boleh bergaul dengan baik jika tinggal di bilik berbeza dalam rumah yang sama, tetapi tidak begitu jika mereka tinggal di bilik yang sama. Sedikit jarak boleh menjadikan hidup lebih bahagia,” tambahnya.

[Baca berita penuh]