Skip to main
Logo Malaysiakini

Indonesia selesai undi semula di KL: Peratusan keluar undi rendah

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Proses pengundian semula Pilihan Raya Umum (Pemilu 2024) Indonesia bagi seluruh kawasan Kuala Lumpur dan negeri sekitarnya berakhir dengan anggaran peratusan keluar mengundi sekitar 6,000 orang.

Peratusan keluar mengundi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur yang bermula jam 8 pagi dan berakhir sekitar 6 petang tadi dilaporkan sekitar 75 peratus lebih rendah berbanding 24,377 yang direkodkan Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia pada 11 Feb lalu.

Pengiraan undi bermula kira-kira jam 7 malam di pusat mengundi dan dikendalikan oleh pegawai jawatankuasa pengurus pengundian di luar negara dengan disaksikan oleh wakil parti politik.

Susulan pengisytiharan KPU untuk pemilihan semula, audit senarai pendaftaran menyaksikan bilangan pengundi yang layak dikurangkan daripada 447,258 nama kepada 62,217 nama, dengan 42,372 di 22 pusat mengundi di WTC hari ini dan 19,485 melalui peti undi bergerak.

Faktor-faktor yang menyumbang kepada penurunan jumlah yang ketara, menurut pemerhati pilihan raya di lapangan, termasuk Program Penghantaran Balik Kementerian Dalam Negeri yang dilancarkan pada 1 Mac - yang membenarkan pendatang tanpa izin di Malaysia pulang ke negara asal mereka tanpa menghadapi pertuduhan berkaitan imigresen.

“Kami mempunyai 1,487 kertas undi untuk pilihan raya perundangan dan 1,486 kertas undi untuk pilihan raya presiden, tetapi hanya 256 pengundi yang hadir mengundi.

“Satu lagi pusat mengundi mempunyai kira-kira 2,000 kertas undi tetapi hanya lebih 100 pengundi,” kata seorang pegawai pengiraan undi yang tidak dibenarkan untuk dipetik.

Daftar pemilih Indonesia dibahagikan kepada tiga kategori - senarai daftar pemilih tetap, daftar pemilih tambahan dan daftar pemilih khusus yakni senarai khas pengundi “tidak berdaftar” dengan dokumen pengenalan diri yang sah.

Pengundian semula dilakukan selepas polis Indonesia mendapati terdapat unsur jenayah pelanggaran peraturan pilihan raya membabitkan manipulasi data dan pemalsuan yang dilakukan oleh tujuh Panitia Pemilihan Luar Negeri Kuala Lumpur.

Tujuh individu daripada panitia berkenaan disenaraikan sebagai suspek dalam kes itu.

Antara pengundi hari ini termasuk Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono, yang membuang undi kira-kira jam 3.30 petang.

Malaysiakini difahamkan nama Hermono, sebelum ini dalam senarai yang disahka tetapi pada hari ini disertakan dengan pengundi "tidak berdaftar", menimbulkan persoalan mengenai audit awal yang dijalankan.

Selain mengundi di WTC KL, 120 peti undi bergerak diedarkan di kawasan di seluruh Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kelantan dan Terengganu - kawasan di bawah bidang kuasa kedutaan utamanya - turut menyaksikan peratusan keluar mengundi jauh lebih rendah, menurut sumber.

Selain dari Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, pada 11 Feb, pengundian juga dilakukan di Konsular-Jeneral Indonesia di Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, serta tiada pertikaian mengenai proses itu.

Indonesia mengadakan pilihan raya presiden dan penggubal undang-undang bersamanya pada 14 Feb dengan pengumuman segera keputusan "kiraan pantas".

Keputusan daripada pemilihan semula hari ini mesti dikira sebelum pengumuman rasmi keputusan keseluruhan KPU pada 20 Mac.