Skip to main
Logo Malaysiakini

Syed Saddiq sertai kempen PN 'demi isu rakyat'

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata penyertaannya dalam jerayawara bersama PN bukan bermaksud dia akan menyertai gabungan pembangkang itu.

Sebaliknya kata Syed Saddiq, dia memutuskan untuk menyertai siri jelajah tersebut kerana ia melibatkan isu rakyat dan disertai pelbagai pihak termasuk gerakan sivil.

"Cadangannya ialah kami mengguna platform neutral di mana kita dapat menggembleng tenaga rakyat daripada semua lapisan masyarakat.

"Tidak kira dari parti politik atau luar politik (untuk menyertainya) supaya akhirnya ini bukan tentang Muda, bukan tentang PN, bukan tentang Syed Saddiq ataupun Tan Sri Muhyiddin (Yassin) tapi ia berkenaan nasib rakyat yang wajib diutamakan," katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Muhyiddin pada kelmarin mengumumkan rancangan PN mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi memberi penjelasan kepada rakyat berhubung kedudukan dan peranan PN.

Kata pengerusi PN itu, jelajah berkenaan akan turut disertai Syed Saddid.

Bagaimanapun Muda - yang pernah dipimpin Syed Saddiq - menegaskan pendirian parti itu untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk PN buat masa ini.

Hanya kerjasama dengan PSM

Muda juga menegaskan keputusan dibuat Syed Saddiq itu tidak pernah dibincangkan di peringkat jawatankuasa eksekutif pusat parti itu.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq hari ini berkata, dia akan membentangkan cadangan siri jelajah itu kepada pimpinan Muda.

Dia turut memberitahu pemimpin Muda ada menghubunginya bagi meminta penjelasan tentang kenyataan Muhyiddin itu.

"Saya rumuskan di sini, kerjasama itu perlu dipacu parti saya (Muda). Tapi bukan bermaksud ia akan diketuai oleh Muda.

"Tetapi saya perlu bentangkan kepada parti untuk mendapat kebenaran kerana saya masih ahli parti, saya merupakan ahli biasa, walaupun bukan presiden," katanya.

Amira Aisya Abdul Aziz

Sementara itu Muda berkata komitmen politik mereka ketika ini hanyalah bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk mengangkat isu-isu rakyat merentasi faktor agama, bangsa dan warna kulit.

Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz berkata kini, Muda tidak pernah memeterai sebarang perjanjian untuk menyertai mana-mana gabungan parti lain.

“Kedudukan Muda di Dewan Rakyat juga secara rasminya adalah bebas,” katanya kepada Malaysiakini.