Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kebuluran: Genosid terselindung Israel terhadap rakyat Palestin

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Bukan senjata atau bom digunakan untuk  genosid dan pembersihan etnik tetapi sekarang kebuluran digunakan rejim haram Israel untuk membunuh  penduduk Palestin di Gaza. 

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Hak Makanan, Michael Fakhri  menyifatkan kempen kebuluran digunakan Israel ke atas penduduk Palestin sebagai genosid dan berkata Israel menggunakan makanan dan kelaparan sebagai senjatanya.

Fakhri yang berada di Geneva menghadiri sesi ke-55 Majlis Hak Asasi Manusia berkata kepada agensi berita Anadolu mengenai krisis makanan dan kebuluran di Gaza dan serangan Israel ke atas rakyat Palestin. 

Beliau berkata: 

“Apabila tercetusnya peperangan, kita lihat penduduk kelaparan dalam cara yang tidak dijangkakan. Kita tidak pernah melihat mana-mana komuniti mengalami kelaparan dengan begitu cepat. Sekarang kita menyaksikan mereka kebuluran. “Kanak-kanak mati daripada kekurangan zat makanan dan dehidrasi. Dalam mana-mana konflik sejarah moden, kita tidak pernah melihat kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan dengan begitu cepat.” 

Tambahnya lagi kanak-kanak yang berhadapan dengan kekurangan zat makanan akan mengalami masalah pembesarannya. Fakhir berkata: “Kita bimbang mereka akan mengalami pembantutan, yang bermakna  impak kognitif dan fizikal secara tetap pada jangka panjang.”Itulah sebabnya rejim haram jadah ini tidak mahukan gencatan senjata dan enggan membenarkan kemasukan trak bantuan makanan dan kemanusian lainnya. 

Terkini rundingan gencatan senjata di Kaherah oleh Hamas dan pengantara untuk menghentikan pertempuran menjelang Ramadan, terputus dan tidak menemui kata sepakat.

Berita-berita penduduk Palestin makan makanan haiwan, makan rumput dan minum air kumbahan timbul yang menunjukkan kejayaan strategi rejim haram hendak mengebulurkan rakyat Palestin. 

Ia adalah kempen kebuluran buatan yang sengaja dirancang negara haram Israel sebagai  genosid terselindung. 

Jika ICJ dan Majlis Keselamatan PBB menyifatkan pembunuhan terbuka yang sedang mereka lakukan sebagai genosid, maka mengebom kawasan strategik simpanan bahan makanan, memotong bekalan air,  memusnahkan tanah pertanian dan  kawasan bandar dan seumpamanya dilakukan supaya situasi kelaparan timbul. 

Rejim kuasai pintu masuk

Apabila kelaparan berlaku ia akan membawa kepada ancaman kebuluran yang merupakan genosid terselindung maka kita mengetahui mengapa rejim haram tidak mahukan gencatan senjata.

Dengan ancaman kebuluran di ambang  maka segala bantuan makanan dan kemanusiaan yang dihantar akan tersekat di pintu Rafah dan bahagian-bahagian lain sempadan Gaza. 

Rejim haram yang menguasai semua pintu-pintu masuk ini  akan melengah-lengahkan kemasukan trak bantuan makanan dan jika dibenarkan masuk rakyat Palestin di Gaza akan berhadapan dengan ancaman ditembak oleh rejim pengganas seperti yang berlaku baru-baru ini  dalam apa yang dikenali sebagai Flour Massacre

Strategi ini dilakukan supaya ramai lagi yang akan mati kelaparan. Kedua-dua taktik digunakan (kelaparan membawa kepada kebuluran dan menembak mereka yang hendak beratur mendapat bekalan makanan) akan  mencetuskan situasi huru-hara dalam kalangan rakyat Palestin yang akhirnya akan membenci pejuang Palestin seperti Hamas, kecewa dan putus asa dengan perjuangan kemerdekaan.

Bukannya masalah kebuluran tidak dapat diatasi tetapi rejim pengganas ini dengan sengaja memperdayakan dunia dalam mencetuskan situasi kebuluran di Gaza dengan menyekat kemasukan bantuan bekalan makanan dan kemanusian lain daripada sampai ke Gaza. 

Di samping melakukan  genosid secara terbuka, mereka juga melakukan genosid dengan berselindung di sebalik ancaman kebuluran yang sengaja cetusan sebagai strategi pembunuhan rakyat Palestin. 

Dalam hubungan ini negara haram Israel akan main tarik-tarik tali dalam penghantaran bantuan makanan dan kemanusiaan yang lain kerana pintu masuk sama ada di utara dan selatan Gaza berada di bawah kawalan mereka.

Kemunculan situasi berlaku sehingga  Afrika Selatan telah meminta ICJ untuk mengarahkan langkah kecemasan tambahan terhadap Israel berikutan tindakan negara zionis itu terus menyekat bantuan makanan dan meneruskan serangan di Gaza hingga menyebabkan kebuluran berlaku.

“Keterukan melampau situasi yang dihadapi lelaki, wanita, kanak-kanak dan bayi Palestin, dan risiko kehidupan rakyat Palestin di Gaza … yang dihadapi akibat kempen genosid Israel menuntut tindakan selanjutnya oleh mahkamah,” kata Afrika Selatan dalam permohonannya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Rabu lepas, Presiden Afrika Selatan memberi amaran bahawa penduduk Gaza tidak boleh menunggu lebih lama.

“Ancaman kebuluran kini telah menjadi kenyataan. Mahkamah perlu bertindak sekarang untuk menghentikan tragedi yang akan berlaku dengan segera dan berkesan memastikan hak yang ditemuinya terancam di bawah Konvensyen Genosid dilindungi,” tambahnya.

Maka pada yang sama mereka terus dengan “santai” melakukan genosid dan pembersihan etnik dan homisid (pemadaman sejarah melalui pengeboman universiti, perpustakaan, sekolah, masjid dan muzium umpamanya).

Rejim haram telah menggunakan strategi serampang banyak mata dan membunuh burung dengan banyak batu (membunuh penduduk Palestin  bukan dengan dua lontaran batu tetapi beberapa lontaran batu).

Negara haram Israel telah menguasai naratif kemanusiaan ini dengan bijak sekali supaya kelihatan dunia bergantung kepada ihsan rejim haram bagi kemasukan bekalan makanan dan kemanusiaan lainnya.


ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pensyarah bebas.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.