‘Tiada wartawan ditangkap, diheret ke mahkamah’ - Fahmi
PARLIMEN l Kerajaan Perpaduan tidak berhasrat untuk mengekang hak bersuara wartawan dalam membuat sebarang pelaporan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata setakat ini tiada seorang wartawan pernah ditangkap, diheret ke mahkamah ataupun disoal siasat pihak berkuasa kerana membuat pelaporan ataupun menerbitkan berita mengenai skandal besar.
"Sebagai seorang demokrat, sebagai seorang yang berpegang kepada prinsip reformasi, saya dan pentadbiran ini tidak berhasrat mengekang hak bersuara khususnya hak para wartawan membuat pelaporan.
"Kebebasan media itu menjadi salah satu teras utama yang bukan hanya perlu kita sokong, tetapi kita juga perlu makmurkan lagi," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin tahu jaminan kerajaan dalam memastikan Kod Etika Wartawan Malaysia yang telah dikemas kini dan ditambah baik tidak akan mengekang mana-mana pengamal media untuk melaporkan atau membongkarkan sesuatu skandal dan sebagainya.
Mengulas mengenai Kad Perakuan Media oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Fahmi berkata kad berkenaan merupakan dokumen pemudah cara bagi pengamal media untuk membuat liputan terutama melibatkan acara rasmi kerajaan.
"Ia juga supaya memudah cara agensi-agensi kerajaan mengenal pasti bahawa wartawan-wartawan ini adalah daripada agensi atau organisasi media yang diperakui untuk hadir membuat pelaporan di acara-acara rasmi kerajaan.
"..ataupun untuk wartawan buat pelaporan dan hadir ke Parlimen, mereka memerlukan dokumen dan pihak Parlimen merujuk kepada Kad Perakuan Media JaPen. Kalau tiada kad perakuan media tidak bererti wartawan tidak boleh bertugas.
"Saya jelaskan bahawa ia (kad perakuan media) bukanlah satu dokumen untuk mengongkong, ataupun mengurung, ataupun menafikan hak para wartawan untuk bertugas," katanya.
Sementara itu Fahmi berkata Kod Etika Wartawan Malaysia yang diluncurkan pada 20 Feb lepas, merupakan penambahbaikan kepada Etika Kewartawanan Malaysia 1989 yang diterbitkan oleh Institut Akhbar Malaysia, yang kini dikenali sebagai Malaysian Press Institute (MPI).
"Penambahbaikan kod etika itu selari dengan perubahan industri media digital masa kini. Kod Etika Wartawan Malaysia ini akan diguna pakai oleh JaPen sebagai sumber rujukan dan panduan dalam pengeluaran serta penarikbalikan kad perakuan media untuk pengamal media di Malaysia," katanya.
Fahmi menjawab soalan asal Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang ingin tahu rasional penggubalan Kod Etika Wartawan baharu yang diumumkan pada 20 Feb lepas, mengambil kira implikasi hak kebebasan media serta kerangka kawal selia media secara menyeluruh.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai