Skip to main
Logo Malaysiakini

Sarawak akan buat penilaian sewajarnya sebelum beli pesawat

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Sarawak tentunya akan melakukan penilaian dan kajian yang sewajarnya sebelum membuat sebarang keputusan untuk membeli pesawat, apabila negeri itu mengambil alih Maswings, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin (gambar bawah).

Beliau berkata pesawat ARJ21-700 mungkin sesuai digunakan di rantau ini, dengan jarak maksimum 2,000 batu nautika boleh digunakan untuk jarak pendek hingga sederhana.

“Pesawat itu sangat selesa, boleh dikonfigurasikan semula dengan mudah untuk memenuhi pelbagai jenis model perniagaan, boleh memuatkan antara 78 hingga 97 penumpang.

“Di Sabah, Sarawak dan Indonesia seperti di Nusantara, Pontianak atau bahkan ke Kuala Lumpur memang baik.

"Ia sesuai untuk kami di Sarawak kerana jarak penerbangan,” katanya selepas menyambut ketibaan Perbadanan Pesawat Komersial China (COMAC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di Kuching, hari ini.

Lee berkata dengan kapasiti itu, kekerapan penerbangan setiap hari boleh ditingkatkan bergantung kepada permintaan.

“Lebih mudah bagi orang ramai untuk menaiki pesawat, terutamanya untuk perniagaan dan pengembara tempatan mahupun untuk pelancong, yang menjadikannya lebih menjimatkan dan fleksibel.

“Pendapat peribadi saya, cara saya melihatnya dan saya melihat potensi besar, mungkin kita juga boleh mempunyai penerbangan sewa khas,” katanya.

Lee berkata ketika ini, Trans Nusa Airline di Indonesia menggunakan dua unit pesawat ARJ21 dalam operasi penerbangan mereka dan akan menerima 60 pesawat lagi tahun ini.

Pesawat ARJ21-700 oleh COMAC telah melakukan penerbangan demonstrasi dari lapangan terbang Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

- Bernama