Skip to main
Logo Malaysiakini

Faiz Na'aman tak berhasrat tanding jawatan dalam PKR

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Bekas pemimpin Bersatu Dr Muhammad Faiz Na'aman yang kini menyertai PKR tidak berhasrat untuk bertanding dalam pemilihan parti itu yang dijangka akan berlangsung hujung tahun ini.

Meskipun begitu dia sedia untuk turun padang dan melakukan jelajah penerangan bersama jentera PKR jika diperlukan.

"Saya tidak berhasrat untuk bertanding mana-mana jawatan dalam PKR setakat ini kerana saya pun sedar ada tempoh matang keahlian yang ditetapkan oleh parti.

"Untuk seseorang ahli itu layak bertanding, jika tak salah saya 18 bulan minima menjadi ahli parti," katanya kepada Malaysiakini.

Kelmarin Muhammad Faiz mengesahkan telah menyertai PKR dan kemasukkannya ke dalam parti itu diumumkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Dia juga menjangkakan lebih ramai pemimpin dan pengasas parti itu di semua peringkat akan menyertai PKR.

"Saya boleh katakan pengisytiharan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor oleh Ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) Selat Klang Abdul Rashid Asari, Rabu lepas adalah bibit awal penghijrahan sokongan.

"Dengan pemilihan kepimpinan baru Bersatu bakal diadakan kelak, saya yakin akan ada pihak yang banyak berjasa kepada parti bakal terpinggir oleh kerana permainan geng 'kartel'... mereka ini akan membentuk gelombang penolakan besar di semua peringkat terhadap Bersatu," katanya di Shah Alam, kelmarin.

Sementara itu Muhammad Faiz berkata dia tidak menawarkan sesuatu yang spesifik kepada PKR apabila menyertai parti berkenaan.

"Saya tidak menawarkan apa-apa yang spesifik kepada PKR kecuali tekad yang jitu untuk melakukan apa saja usaha yang saya mampu bagi memperkasakan parti itu sama ada di peringkat negeri mahupun negara, selagi mana ia tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dan ajaran Islam yang sebenar.

"Salah satu dari usaha itu ialah penerangan, penjelasan, counter-fitnah dan penyebaran info fakta di media sosial yang kini cukup popular di kalangan warga kita.

"Saya pun biasa masuk media massa dan tiada masalah untuk turun padang melakukan jelajah penerangan jika diperlukan," katanya lagi.