Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kongres Bumiputera tak sampai ke bawah

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

“Definisi kegilaan ialah melakukan perkara yang sama berulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza.”

Pelbagai reaksi dapat dilihat selepas resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera berlangsung dan inisiatif kerajaan diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Reaksi daripada media sosial berlainan mengikut platform dan bahasa artikel berkenaan kongres tersebut.

Di Instagram, misalnya, dipaparkan berita tentang bumiputera hanya memiliki satu daripada 97 syarikat tersenarai di Bursa disampaikan melalui medium Bahasa Inggeris. Ini diiringi komen seperti “You have to work on it, not by comparing races”.

Di TikTok pula, video cadangan di kongress iaitu 30% barangan bumiputera di semua hypermarket dijadikan syarat oleh kerajaan mendapat pelbagai reaksi seperti:

“Why 30%? Just make it 100% happy?”

“Buat macam mana pun kalau malas apa pun tak jadi.”

“Tapi Melayu pun kurang sokong barangan buatan tempatan.”

Turut dicadangkan oleh TPM Zahid Hamidi, pelaksanaan dasar Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB). TEB dikatakan bukan untuk menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) tetapi untuk menjadi panduan kepada pelaksanaan DEB yang katanya lebih progresif dan dapat merapatkan jurang sosioekonomi rakyat.

Tetapi menurut laman sesawang Transformasi Pembangunan Bumiputera (TPB 2030), Bidang Transformasi Ekonomi Bumiputera (Beta) ialah salah satu komponen dari TPB 2030 untuk mengenal pasti potensi untuk meningkatkan penglibatan bumiputera. TPB 2030 dilancarkan pada 2021.

Ya, memeningkan!

Pendirian saya terhadap dasar membangunkan ekonomi bumiputera adalah untuk kerajaan meneruskannya tetapi bukan untuk kekal sebegitu, hanya sehingga golongan bumiputera terpinggir atau underclass (etnik Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak) dapat dibantu.

Pada masa yang sama, adakan usaha konkrit untuk mengeluarkan rakyat tidak kira kaum dari kitaran ganas kemiskinan. Ini memerlukan pedekatan yang lebih melibatkan golongan di bawah.

DEB yang telah dilaksanakan sejak dulu terbukti tidak memberi kesan secara menyeluruh. Kongress kali ini diharapkan dapat memberi satu idea dan pandangan baharu untuk kerajaan merangka dasar baharu untuk bumiputera. Namun, kongress ini dihadiri oleh ahli korporat yang berada di ‘atas’.

Dasar kerajaan kebanyakannya membawa pandangan “ini adalah untuk kebaikan rakyat”. Tetapi proses merangka dan mengambil idea untuk lakukannya tidak melibatkan rakyat.

Jika TEB yang dicadangkan adalah untuk bumiputera yang masih ketinggalan, maka proses membuat dasar itu perlu mengambil kira pandangan dan keperluan rakyat yang di bawah.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2023 melaporkan, pada 2022, median pendapatan rumah bulanan bumiputera adalah paling rendah berbanding etnik Cina dan India iaitu RM5,793, manakala dua lagi adalah RM8,167 dan RM6,627.

Ketua ekonomi Bank Muamalat, Afzanizam Rashid, menyatakan bahawa nisbah pendapatan etnik Cina dan Melayu adalah 1:0.709 pada 2022 – menurun daripada tahun 2014 iaitu 1:0.738.

Namun, jurang antara bumiputera juga tinggi, contohnya di negeri majoritinya bumiputera iaitu Sabah. Pendapatan isi rumah bukanlah yang paling rendah iaitu RM5,745 tetapi mencatat kemiskinan tegar paling tinggi dalam negara iaitu sebanyak 19.5% (Jabatan Statistik).

Kemiskinan mutlak daripada komuniti India – dianggarkan 5.4% – juga tidak boleh ketinggalan dalam usaha kerajaan membantu bumiputera dan mereka tidak boleh hanya berharap kepada limpahan ekonomi bumiputera yang dijanjikan (Kementerian Ekonomi, 2022).

Selepas meneliti hasil kongress kali ini, satu persoalan terlintas di minda saya: apa bezanya resolusi kongres dengan polisi kerajaan untuk “memartabat agenda bumiputera” sebelum ini?

Ia masih bercorak “top-down” yang masih tidak diketahui jika ia dapat bermanfaat kepada golongan “underclass”. Ia dibincang dan diputuskan oleh ahli-ahli korporat dan dibentang kepada ahli politik demi ‘kebaikan” golongan yang di bawah.

Unsur inklusif yang wajar dipuji apabila tiada perbincangan retorik bumiputera di kongres tersebut dan penekanan kepada kerjasama untuk membangunkan ekonomi bumiputera.

Dalam ucapan penutup kongress oleh perdana menteri, ada dinyatakan unsur inklusif termasuk tidak hanya bergantung kepada syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan tetapi juga bersama syarikat swasta “terpilih”.

Tambahan pula, majlis ekonomi bumiputera ditubuhkan dan dipengerusikan oleh perdana menteri sendiri, jawatankuasa pemantauan dipengerusikan oleh timbalan PM dan jawatankuasa perlaksanaan dipengerusi oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Rekod dan reputasi Zahid Hamidi tidak berapa baik dan tanggungjawab yang digalas ini menimbulkan syak wasangka.

Perbezaan peranan Teraju dengan jawatankuasa ini juga menjadi tanda tanya.

Resolusi ke-tujuh daripada kumpulan reformasi pendidikan dan modal insan adalah untuk memperkasakan kualiti sekolah kebangsaan. Salah satu strateginya adalah dengan mewujudkan “dana khas kecemerlangan sekolah harian” untuk membantu pelajar kurang bernasib baik.

Salah satu strategi daripada resolusi pertama (memperbetulkan sikap bumiputera untuk mementingkan pendidikan dan menyediakan persekitaran yang sesuai untuk perubahan) adalah semua bantuan dan insentif akan dipastikan berprinsip bersasar, sebagai contoh berdasarkan kehadiran ke sekolah atau menyambung pelajaran.

Berkenaan dana khas dan insentif ini tidak mencukupi kerana ia seperti bersifat berdasarkan ganjaran, oleh itu mereka terpaksa pergi ke sekolah atau menyambung pelajaran. Ia akan memberi kesan juga kepada pelajar lain di dalam kelas yang betul berminat untuk belajar.

Sepatutnya ada satu resolusi khas untuk menjaga jaringan keselamatan sosial.

Ketiadaan sistem keselamatan sosial yang kukuh bukan sahaja akan memberi impak kepada pendidikan, malah semua kumpulan resolusi di kongres itu. Ini adalah contoh keburukan resolusi yang akan menjadi panduan kepada dasar yang bersifat “top-down”.

Kongres kali ini bukanlah untuk membentuk dasar kerajaan. Ia adalah perbincangan dengan ahli korporat bumiputera tentang apa dasar yang mereka ingin kerajaan laksanakan dan ia ‘mewakili’ suara bumiputera walaupun realitinya tidak semua.

Saya menyambut baik usaha untuk membangunkan ekonomi bumiputera kerana tidak boleh dinafikan yang masih tinggi peratusan bumiputera terutamanya golongan underclass yang ketinggalan.

Tetapi ia memerlukan pendekatan yang berbeza yang lebih mesra terhadap golongan di bawah dan yang lebih inklusif untuk mengeluarkan rakyat tidak kira kaum dari kitaran ganas kemiskinan.


SAFIYUDDIN SABRI ialah pelajar sains politik yang sedang menjalani latihan almiah di Aliran. Artikel di atas pertama kali diterbitkan di Aliran.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.