Skip to main
Logo Malaysiakini

Gangguan seksual terhadap murid: 'You touch, you go', kata Fadhlina

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberi amaran keras kepada pendidik dan kakitangan kementeriaannya yang mereka akan dipecat jika terlibat dalam kesalahan gangguan seksual terhadap pelajar.

Fadhlina juga mengingatkan mereka agar tidak mengambil sikap lepas tangan berhubung kesalahan seumpama itu.

“Saya nak beri amaran, sekiranya berlaku kes-kes dalam institusi pendidikan - you touch, you go (kamu sentuh, kamu dipecat),” katanya ketika berucap pada Konvensyen Kebangsaan Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual' di Shah Alam, Selangor hari ini

Dia berkata ia sebagai usaha Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menjadikan sekolah sebagai tempat paling selamat bagi pelajarnya.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata KPM memandang serius isu gangguan seksual terhadap pelajar dan sentiasa komited untuk membanterasnya.

“Kita mesti beri penekanan yang betul supaya mereka faham yang kita serius untuk memastikan kes-kes ini tidak berlaku dalam sekolah kita. Jadi, you touch you go,” tegasnya sekali lagi.

Menurut Fadhlina, dia sendiri pernah bertemu dengan mangsa, termasuk daripada institusi pendidikan agama.

“Bila saya tanya kenapa tak beritahu kamu diganggu ustaz kamu, dia jawab 'ustaz cakap kalau beri tahu orang lain ilmu yang kami dapat tak berkat, kamu kena jaga aib ustaz kerana ustaz yang beri ilmu kepada kamu',” katanya.

Bersandarkan kepada pengalaman mengendalikan kes gangguan seksual membabitkan 20 kanak-kanak di Sarawak ketika menjadi aktivis lapan tahun lalu, Fadhlina menegaskan cabaran KPM pada masa ini semakin besar kerana bukan hanya kanak-kanak perempuan yang perlu dilindungi, tetapi juga kanak-kanak lelaki.

Maka, Fadhlina berkata KPM telah melancarkan Program Sekolah Selamat yang antaranya mewujudkan garis panduan khas bagi menyediakan persekitaran yang bebas daripada gangguan seksual.

“Ini juga termasuk dalam konteks sukan yang kita buat dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan supaya murid merasa selamat untuk laksana aktiviti sukan,” katanya lagi.

Menurut Fadhlina, KPM juga akan menambah guru kaunseling di setiap sekolah sebagai persediaan untuk berdepan kes gangguan seksual.

“Saya telah berbincang dengan ketua pengarah pendidikan supaya peranan guru-guru kaunseling ini sentiasa mendapat perhatian daripada pihak-pihak berkuasa supaya kita dapat beri tumpuan kepada pembinaan sahsiah anak murid kita.

"Ketika ini kita juga telah menambah guru-guru kaunseling bagi keperluan pelajar khas,” katanya lagi.