Skip to main
Logo Malaysiakini

Bayi maut dikelar ibu sendiri

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Seorang bayi lelaki berusia satu setengah setahun maut dipercayai akibat dikelar ibunya di sebuah kawasan perumahan di Pasir Gudang, Johor Bahru semalam.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Katanya siasatan awal mendapati wanita berusia 32 tahun itu turut menghantar gambar mangsa yang berlumuran darah kepada suaminya menerusi WhatsApp.

"'Sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk mengelar mangsa turut dirampas di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan.

Kumar berkata mayat bayi terbabit dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk proses bedah siasat, manakala motif kejadian masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai diharapkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes," katanya.

Dia juga menambah permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dilakukan hari ini.

Sementara itu dalam kes berlainan, Kumar berkata polis menahan lima lelaki berusia antara 35 hingga 48 tahun bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang lelaki berusia 61 tahun.

Kesemua mereka, katanya, mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

Menurut Kumar, mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 10.50 pagi di Taman Rinting, Masai, dengan beberapa kesan luka tetakan pada tubuh.

Mayat dibawa ke HSI untuk bedah siasat. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- Bernama