Skip to main
Logo Malaysiakini

Jenazah wartawan Bernama Nur Adika selamat dikebumikan

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Jenazah wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Allahyarham Nur Adika Bujang, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Belud Sadok, Kinarut di Papar pada pukul 2.41 petang hari ini.

Nur Adika, 45, yang juga Pewarta Bernama Sandakan diterbangkan dari Lapangan Terbang Sandakan dengan menggunakan penerbangan ehsan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebelum tiba di PGU Pangkalan Sabah di Tanjung Aru pada jam 11.10 pagi.

Terdahulu jenazah telah selesai menjalani prosedur bedah siasat di Hospital Duchess of Kent, Sandakan sebelum diterbangkan ke Kota Kinabalu.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Lama Nurulhidayah Kampung Somboi, untuk disolatkan yang diimamkan adik lelaki arwah iaitu Syahrel Khalifah Bujang.



Solat jenazah turut disertai kira-kira 100 jemaah terdiri daripada ahli keluarga, penduduk kampung dan rakan media.

Sementara itu, ibu Allahyarham iaitu Nafsiah Bubin, 69, memohon maaf bagi pihak arwah sekiranya anaknya ada terkasar bahasa mahupun tingkah lakunya yang tidak disenangi, sepanjang hayatnya.

“Saya rasa Nur Adika sangat gembira dapat bekerja dengan semua, baik dengan Bernama mahupun media lain, kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat di Sandakan sangat rapat dengan pihak media terutama dengan Nur Adika, terima kasih banyak-banyak dengan kerjasama yang diberikan,” katanya.

Turut hadir menziarahi jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang merangkap Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Kadzim M Yahya.

Pada Ahad, Nur Adika ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri ditingkat dua di kediamannya di Taman Perumahan IJM, Batu 6, Sandakan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.

Nur Adika telah berkhidmat dengan Bernama sebagai wartawan hampir 20 tahun sejak 31 Okt 2005 dan pada 1 Jan 2019 beliau dilantik sebagai Pewarta Sandakan.

- Bernama