Skip to main
Logo Malaysiakini

Pindaan perlembagaan kewarganegaraan anak diselesai secepat mungkin

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan isu kewarganegaraan anak yang dilahirkan oleh wanita Malaysia di luar negara akan dimuktamad secepat mungkin selepas sesi libat urus bersama pihak berkaitan selesai.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sesi libat urus berkaitan perkara itu sedang giat dijalankan bersama pemegang taruh, parti politik, badan bukan kerajaan dan aktivis.

"Kita akan uruskan secepat mungkin, ketika ini saya masih melakukan libat urus dengan pihak berkaitan jadi selesai sesi ini, ia akan dibawa ke Parlimen," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan di Putrajaya hari ini.

Pada 8 Mac lepas, Kabinet meluluskan cadangan pindaan berkaitan hak kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu itu.

Pada masa sama, Saifuddin Nasution sedia bersemuka dengan sesetengah pihak yang telah menyuarakan ketidakpuasan berhubung cadangan pindaan itu.

"Kami di Kementerian Dalam Negeri sentiasa terbuka untuk didatangi mereka. Tidak ada masalah sebab saya boleh mendengar daripada mereka dan begitu juga mereka boleh mendengar daripada pihak kami, itu yang dinamakan perbincangan," katanya.

Beliau juga berkata 80 peratus daripada 3,903 permohonan taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan secara pendaftaran telah diluluskan setakat 7 Mac lepas.

Saifuddin Nasution berkata selebihnya adalah permohonan yang ditolak disebabkan pendaftaran tidak lengkap selain didapati menggunakan dokumen palsu dan anak terbabit tidak berada di negara ini.

"Namun mereka yang gagal masih boleh membuat permohonan semula selain kena pastikan anak itu berada di Malaysia," katanya.

- Bernama