Zahid ingatkan semua pasar raya ambil iktibar dari kontroversi KK Mart
Pasar raya seluruh negara diingatkan untuk mengambil iktibar dan tidak mengulangi kesilapan, susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah oleh pasar raya KK Mart.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara sensitif yang terkelas dalam 3R (agama, institusi diraja dan kaum) itu, tidak harus dipandang ringan.
“Walaupun pihak KK Mart telah memohon maaf, namun ia bukan isu ringan.
“Ini bukan hanya isu agama sahaja tapi satu tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Trolak di Slim River, semalam.
Ahmad Zahid berkata isu tersebut perlu diselesaikan segera supaya ia tidak disalah tafsir dan tidak ditunggangi (dimanipulasi) oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Kita menyambut baik pandangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mengingatkan semua lapisan masyarakat, supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan institusi diraja,” katanya.
Sebelum ini, KK Mart memohon maaf selepas didapati menjual stoking itu di cawangannya di Bandar Sunway selepas ia tular di media sosial.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai