Skip to main
Logo Malaysiakini

PANDUANKINI | Apa perlu dibuat jika diberhentikan polis?

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

PANDUANKINI | Diberhentikan oleh polis adalah sesuatu yang mungkin dialami oleh ramai daripada kita.

Walaupun kebanyakan persinggahan lancar, penyampai berita Muhammed Ahmad Hamdan mendakwa mengalami pengalaman yang tidak menyenangkan, malah menjadi lebih buruk apabila dia menulis tentang pengalaman pahitnya dalam akhbar New Straits Times (NST).

Dia kini disiasat di bawah Kanun Keseksaan kerana dikatakan "menghina" polis.

Apabila siasatan diteruskan dan apa yang berlaku menjadi lebih jelas, terdapat undang-undang yang mengawal interaksi sedemikian antara polis dan orang awam secara keseluruhan.

Panduankini ini akan merangkum undang-undang tersebut dan perkara yang perlu anda lakukan jika anda diberhentikan oleh pihak polis.

Panduan ini sebahagian besarnya berdasarkan "Buku Merah" Badan Peguam Malaysia, yang pertama kali diterbitkan pada tahun 2006 dan terus menerima kemas kini selama bertahun-tahun.

"Buku Merah" disyorkan untuk bacaan lanjut selepas panduan ini, kerana ia merangkumi perincian lebih luas berbanding panduan yang diringkaskan ini.

Apakah yang perlu dilakukan apabila polis berhentikan saya?

Perkara pertama ialah memastikan identiti anggota polis terbabit. Perhatikan butiran seperti nama mereka, nombor ID dan nombor plat kenderaan mereka.

Sekiranya mereka tidak berpakaian seragam, minta kad kuasa mereka untuk semakan, yang juga mempunyai butiran yang diperlukan.

Jika kad kuasa berwarna merah bermakna anda sedang berurusan dengan pegawai polis yang digantung tugas dan anda boleh abaikan kerana mereka tidak mempunyai kuasa ke atas anda.

Jika polis menyoal anda, Badan Peguam mengatakan anda hanya perlu memperkenalkan diri dengan nama, nombor MyKad dan alamat.

Jika mereka mempunyai soalan lain, tanya dengan sopan sekiranya anda ditahan.

Jadi, adakah saya ditahan atau tidak?

Jika anda tidak ditahan, anda boleh beredar atau menolak untuk mengikut polis ke balai polis atau mana-mana tempat lain yang mungkin mereka minta.

Bagaimanapun, mungkin polis sedang menyiasat sesuatu dan menganggap anda mempunyai maklumat tentang kes itu.

Mereka ingin kenyataan bertulis anda direkodkan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (kenyataan 112 atau kenyataan saksi).

Polis tidak boleh menangkap anda hanya untuk merakamkan kenyataan anda, jadi dalam kebanyakan kes, mereka akan membuat permohonan tidak rasmi supaya kenyataan anda direkodkan.

Anda perlu memberikan kerjasama jika bersesuaian dengan masa dan tempat bagi anda, tetapi jika tidak, anda perlu memberitahu mereka bahawa anda akan berbuat demikian pada masa dan tempat yang sesuai.

Jika anda enggan bekerjasama, polis boleh mengeluarkan perintah rasmi yang memaksa anda untuk bekerjasama.

Mengingkari perintah ini boleh menyebabkan majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap anda.

Sebaliknya, jika polis menjawab "ya" kepada soalan sama ada anda sedang ditangkap, tidak membenarkan anda beredar atau ingin membawa anda ke balai polis, maka malangnya - ya, anda sedang ditangkap.

Tolong, saya ditangkap! Bagaimana?

Jangan melawan. Polis mempunyai hak untuk menggunakan kekerasan yang munasabah terhadap anda jika anda melawan.

Sebaliknya, anda harus bertanya kepada polis mengapa anda ditangkap, dan balai polis mana anda akan dibawa. Penangkapan adalah menyalahi undang-undang jika anda tidak dimaklumkan tentang sebabnya, dan mereka mesti segera membawa anda ke balai polis terdekat dan bukan tempat lain.

Anda mungkin ditahan sehingga 24 jam di balai polis atau di lokap polis untuk membantu siasatan, namun jika polis memerlukan lebih masa, mereka boleh meminta majistret untuk mengeluarkan perintah reman untuk melanjutkan tempoh ini sehingga empat hingga tujuh hari bergantung kepada kesalahan yang disyaki, dan perintah reman kedua selama tiga atau tujuh hari lagi (sekali lagi, bergantung kepada kesalahan yang disyaki disiasat).

Anda mempunyai hak untuk membuat panggilan telefon, yang dikatakan oleh Badan Peguam untuk anda gunakan bagi menghubungi keluarga, peguam, atau pusat bantuan guaman dan memberitahu mereka bahawa anda telah ditahan, serta masa, tempat dan sebab penahanan itu.

Polis mesti memberi anda kemudahan dan masa untuk berunding dengan peguam anda di balai polis, tetapi mereka mungkin menafikan ini jika kelewatan menyoal anda boleh menyebabkan berlakunya jenayah lain atau membahayakan orang lain.

Semasa disoal siasat, anda harus perhatikan nama dan pangkat pegawai polis yang menyoal anda. Anda harus kekal sopan, tetapi anda hanya diwajibkan untuk memberikan butiran peribadi anda seperti nama, umur, alamat dan pekerjaan anda.

Selain itu, adalah hak anda untuk berdiam diri dan memberitahu polis bahawa anda akan menjawab di mahkamah.

Polis tidak boleh memaksa anda untuk membuat kenyataan bertulis selain daripada butiran peribadi anda. Jika anda diancam, dipukul, atau dipaksa untuk membuat kenyataan 112, Badan Peguam mengatakan anda perlu membuat laporan polis terhadap pegawai polis itu.

Bolehkah polis memeriksa barang saya? Sekiranya berlaku serbuan, seperti serbuan dadah di kelab malam, polis boleh menggeledah orang dan beg tanpa menangkap anda.

Bagaimanapun, ini hanya boleh dilakukan dengan kehadiran pegawai berpangkat inspektor dan ke atas. Badan Peguam menasihatkan supaya anda tidak membenarkan mereka memasukkan tangan ke dalam poket, pakaian atau beg anda.

Sebaliknya, keluarkan barang-barang anda satu persatu secara sukarela di hadapan polis supaya boleh memantau barang-barang anda. Nyatakan setiap item yang anda keluarkan (“dompet”, “kunci”, “IC”) dan balikkan poket atau beg anda ke dalam setelah selesai.

Polis boleh menggeledah seluruh tubuh anda, tetapi ini mesti dilakukan secara profesional dan dengan kesopanan, dalam privasi ruang tertutup.

Di samping itu, seorang wanita hanya boleh diperiksa oleh seorang pegawai polis wanita. Tiada undang-undang untuk memaksa anda untuk menanggalkan pakaian.

Jika anda diugut untuk berbogel, bantah, perhatikan butiran pegawai polis, dan buat laporan polis selepas kejadian itu. Polis juga boleh menggeledah kereta dan telefon anda, tetapi hanya jika mereka mengesyaki anda melakukan jenayah.

Dalam mana-mana kes, anda harus mengambil perhatian butiran pegawai polis seperti nama dan nombor ID (nombor badan).

Di samping itu, anda harus bertanya mengapa mereka ingin memeriksa telefon atau kereta anda, dan sama ada anda disyaki melakukan jenayah. Jika anda tidak pasti, Badan Peguam berkata anda perlu menghubungi peguam untuk mendapatkan nasihat.

Di mana saya boleh failkan aduan?

Tidak semua interaksi dengan polis berjalan dengan sewajarnya, malah penulis juga pernah dilayan dengan kasar walaupun memahami mengenai hak-hak ketika berhadapan polis dan cuba meredakan ketegangan.

Pilihan anda untuk mengemukakan aduan bergantung pada isu yang dihadapi, dan peguam mungkin boleh menasihati anda mengenai tindakan terbaik.

Namun, beberapa pihak berkuasa berada dalam kedudukan untuk menerima aduan anda dan mengambil tindakan selanjutnya jika perlu.

Pegawai polis yang bertindak di luar batas undang-undang, sebagai contoh, boleh dilaporkan kepada polis melalui laporan polis.

Di samping itu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard menyelia isu disiplin dalam pasukan polis.

Percubaan untuk meminta rasuah pula boleh dilaporkan kepada SPRM.

Terdapat juga Suruhanjaya Bebas Tatatelakuan Polis (IPCC) yang baru ditubuhkan, yang mengambil alih tugas menyiasat salah laku polis daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.

Bagaimanapun, IPCC telah dikritik sebagai "lompong" kerana kuasanya yang terhad untuk menyiasat kes dan mengambil tindakan terhadap pegawai yang ingkar.