Skip to main
Logo Malaysiakini

Isteri doa keselamatan Amri, lapan tahun lepas kehilangan paksa

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Isteri kepada Amri Che Mat masih belum berputus asa, sentiasa bermunajat mengharapkan kepulangannya dengan selamat.

Ini selepas kes kehilangan secara paksa aktivis dari Perlis itu lapan tahun lalu.

Ditemui media selepas dia menjadi saksi dalam kes samannya terhadap polis dan kerajaan, Norhayati Mohd Ariffin sebak menyuarakan hasrat dirinya dan keluarga untuk bertemu semula dengan Amri.

"Saya sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraannya. Kami sangat merinduinya.

"Harap dia baik-baik saja," kata wanita berusia 51 tahun itu sambil mengesat linangan air mata ketika menunggu untuk berunding dengan pasukan peguamnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu semasa memberi keterangan pada perbicaraan penuh kes samannya di hadapan Hakim Su Tiang Joo, Norhayati berkata dia membuat laporan polis malam tadi untuk mengesan pemilik restoran Saiful Afdzan Senei, yang merupakan saksi utama penculikan Amri pada 24 Nov 2016.

Norhayati, dalam kes saman sivil itu, memohon perintah mahkamah supaya polis menyelesaikan siasatan mengenai keberadaan Amri.

Pada 3 April 2019, siasatan awam Suhakam menyimpulkan Amri dan pastor Raymond Koh, yang masing-masing hilang pada 2016 dan 2017, merupakan mangsa kehilangan secara paksa.

Panel tiga anggota sebulat suara membuat kesimpulan bahawa pelaku adalah anggota Cawangan Khas dari ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Keluarga Koh juga telah mengambil tindakan mahkamah sivil terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan paksa pastor itu.

[Baca berita asal]