Skip to main
Logo Malaysiakini

Perenang bertangan satu Carmen Lim perjuangkan atlet para

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

MALAYSIANSKINI | Walaupun lahir dengan hanya satu tangan, Carmen Lim berjaya mengatasi para perenang terbaik dalam kategori S8 di Asia Tenggara sejak berumur 15 tahun.

Namun, dia tidak pernah merancang menjadi perenang profesional.

Sejak kecil lagi, Carmen, yang berharap akan mewakili negara di Kejohanan Paralimpik di Paris tahun ini, bercita-cita menjadi peguam.

Kini, dia berjaya dalam mencapai kedua-duanya - menjadi perenang terulung dalam kategorinya di Asia Tenggara dan merangkul ijazah Sarjana Muda dalam Undang-Undang (BA Law) dari Universiti Cambridge yang tersohor.

“Saya tidak pernah benar-benar memikirkan tentang sukan renang sebagai kerjaya profesional sebelum ini kerana keluarga saya sentiasa memberi tumpuan kepada pendidikan saya, dan renang hanya dilihat sebagai aktiviti kokurikulum,” kata Carmen, yang membawa pulang tiga pingat emas dan satu pingat gangsa dalam Sukan Para Asean 2023 di Kemboja.

Walaupun hanya melihatnya sebagai aktiviti sampingan, anak kelahiran Subang jaya ini telah memegang rekod untuk 50m gaya bebas (S8) selama hampir satu dekad.

Lebih mengagumkan lagi, sejak menetapkan rekod baru pada tahun 2015, hanya Carmen yang memecahkan rekodnya sendiri - pertama kali di Kejohanan Para Asean pada tahun 2017 dan sekali lagi pada kejohanan yang sama pada tahun 2023, mencatatkan masa terbaik 34.43 saat.

Carmen Lim di Sukan Para Asia ke-4 di Hangzhou, China pada tahun 2023.

Dalam sukan para, terdapat pelbagai kategori berdasarkan ketidakupayaan, untuk mencipta medan persaingan yang lebih adil.

Namun Carmen, 24, tidak berasa kekurangan walaupun dia lahir tanpa lengan kirinya. Ini kerana ibu bapanya tidak pernah melayan dia dengan cara yang berbeza.

“Mungkin ini bukan tanggapan semula jadi untuk orang lain kerana mereka ada dua tangan.

“Tapi bagi saya biasa dengan keadaan saya sekarang dan saya tak dapat bayangkan bagaimana rasanya kalau saya ada lengan kiri.

“Jika anda meminta saya membayangkan diri saya dengan lengan kiri, saya hanya boleh bayangkan satu benda berat di bahagian kiri saya. Saya tidak bayangkan bagaimana ada lengan kiri yang boleh bergerak,” katanya.

Kejayaan mengejut

Kejayaan terbarunya adalah satu kejutan buatnya kerana dia hanya berlatih secara profesional selama 10 bulan sebelum menyertai kejohanan tersebut.

Sebelum itu, dia berehat sementara dan hanya berenang separuh masa, untuk fokus kepada pengajiannya.

“Saya mula berlatih sepenuh masa pada Disember 2022 dan bersaing pada Mac 2023 setelah sekatan berkaitan pandemik Covid-19 diangkat, dan pada masa itu prestasi saya jauh dari syarat kelayakan Paralimpik.

“Saya tidak berfikir pun ada kemungkinan untuk layak ke Paris kerana saya kembali ke renang profesional selepas tempoh yang lama.

“Tetapi saya teruja mendapati peningkatan dalam prestasi saya yang signifikan dan saya berenang lebih baik daripada sebelumnya, bukan sahaja dalam 50m gaya bebas tetapi dalam semua acara.

“Saya mencatat masa yang baik dan saya mendapat tempat dalam Kejohanan World Series, yang memberi saya peluang untuk layak ke Paralimpik,” katanya.

Carmen Lim selepas dinamakan Olahragawati Paralimpik 2022.

Semua kejayaannya pada tahun 2022, termasuk memenangi anugerah Olahragawati Paralimpik pada tahun itu, menempatkannya di tempat ke-19 di dunia bagi kategori gaya renangnya, pada musim 2023.

Dia juga masih terus berlatih untuk acara 100m kuak dada SB8 dan satu perak bagi acara 50m gaya bebas SB8.

Kejayaan ini telah mengubah tanggapannya terhadap potensi dirinya dalam sukan ini.

Kini, katanya, sukan renang adalah satu kerjaya sepenuh masa dan bukan sekadar hobi sampingan.

Sokongan padu keluarga

“Walaupun gaji saya tidak mencerminkannya,” katanya bergurau.

“Setelah saya dapat ijazah dan capai matlamat pendidikan saya, saya ada lebih kebebasan untuk membuat keputusan sendiri tentang laluan kerjaya saya, termasuk menceburi sukan renang sepenuh masa sekurang-kurangnya selama dua tahun lagi,” katanya.

Menamatkan pengajian dari Universiti Cambridge, UK.

Carmen tidak dapat mengatakan dengan pasti mengapa dia lebih cenderung kepada sukan renang berbanding sukan lain.

Tapi sejak kecil, keadaan tahap hemoglobin rendah bermaksud dia lebih cenderung pengsan. Mungkin ini sebab dia tidak memilih sukan olahraga katanya.

"Jadi berenang kelihatan sebagai pilihan yang lebih sesuai untuk saya," katanya.

Mengecapi kecemerlangan dalam aktiviti kokurikulum ini, dia mula berlatih untuk pertandingan profesional pada usia yang muda, iaitu 13 tahun.

Tetapi pada usia 14 tahun, dia menghadapi cabaran yang besar apabila ibunya, Angie Ng, yang meninggal dunia akibat penyakit jantung pada usia 49 tahun.

Ng merupakan penyokong terbesar Carmen dan dialah insan yang pertama kali mendaftarkan anaknya untuk belajar berenang bersama kanak-kanak biasa.

Mengenangkan kembali masa sukar itu, Carmen berkata, sokongan teguh bapanya Lim Chee Kiong, ibu saudaranya dan seluruh keluarga besarnya menjadi sandaran utama.

"Saya selalu katakan bahawa kita perlukan sokongan sebuah kampung untuk berjaya, kerana mengejar kerjaya sukan boleh terasa sepi kerana tidak ramai orang melakukannya.

"Keluarga saya bersatu untuk menyokong saya dalam sukan renang dan pelajaran saya, agar kesedihan kehilangan ibu saya tidak membantutkan potensi saya," kata Carmen, yang merupakan anak tunggal.

Dia juga mengiktiraf jasa-jasa jurulatihnya, termasuk Loke Chee Heng dan Yong Huey Ying, yang mula melatihnya ketika dia masih sekolah di Sri Kuala Lumpur dan mereka masih menjadi jurulatihnya hingga hari ini.

"(Mereka) sentiasa memberi sokongan dan tidak pernah menganggap kecacatan saya sebagai satu isu," kata Carmen.

Dia berpisah dengan jurulatihnya untuk tempoh yang singkat apabila memasuki sebuah sekolah berasrama penuh di Wales Utara untuk belajar ke peringkat A Levels dan seterusnya ke Universiti Cambridge sebagai pemegang biasiswa Khazanah.

Carmen terus cemerlang dalam sukan renang ketika menuntut di universiti.

Keistimewaan dan tanggungjawab

Bukan sahaja dia menjadi presiden Kelab Renang dan Polo Air Universiti Cambridge, tetapi dia juga memperoleh penghargaan Full Blue dan Extraordinary Blue pada tahun 2022, iaitu penghormatan tertinggi universiti itu bagi seorang atlet.

Dia bersaing dalam pelbagai pertandingan, termasuk pertarungan Varsity melawan Universiti Oxford dan pertandingan antara universiti kebangsaan (BUCS). Pencapaiannya meningkatkan kedudukan pasukannya secara keseluruhan.

Carmen Lim, duduk di tengah, bersama perenang wanita lain dalam pasukan renang Cambridge University.

Mengimbau kembali perjalanan hidupnya, Carmen cepat untuk mengakui bahawa dia perjalanannya tidak mencabar berbanding atlet para atau orang kurang upaya lain, yang kebanyakkannya menghadapi pelbagai rintangan.

"Dalam pasukan renang sekolah saya, saya berlatih bersama rakan-rakan dan rakan sekelas sentiasa membuatkan saya berasa seperti pelajar biasa," katanya.

Atas sebab itulah dia merasa bertanggungjawab untuk menggunakan keistimewaan yang dia ada untuk membela atlet lain. Ini termasuk sebagai pengerusi majlis atlet dalam Majlis Paralimpik Malaysia.

Katanya, dia jauh lebih bernasib baik kerana dia boleh terus menceburi bidang undang-undang, jika tidak berjaya di arena sukan.

"Ini bukan tentang mengecam kerajaan atau badan sukan, tetapi ini membolehkan saya bebas bersuara membela atlet lain, kerana saya tidak terlalu bergantung kepada bidang sukan," katanya.

Walaupun dia sendiri tidak menghadapi kesukaran, Carmen percaya adalah penting untuk mereka yang berkuasa menangani isu yang dihadapi atlet para.

Contohnya, kini atlet para masih tertanya-tanya siapa yang akan mewakili Malaysia di Paralimpik Paris pada 28 Ogos hingga 8 September.

Ketidaktentuan ini merumitkan usaha atlet-atlet ini kerana mereka memerlukan masa untuk membuat latihan dan persediaan, katanya.

Walaupun dia telah layak bertanding di World Series, yang membawa kelayakan ke Paralimpik, Carmen tidak tahu jika dia akan menjadi sebahagian kontijen Malaysia ke Paris.

"Mungkin mereka ada rancangan tetapi masa semakin singkat. Persediaan dan latihan tidak boleh dilakukan dalam masa sebulan atau beberapa minggu.

“Sebaiknya, atlet memerlukan setahun untuk berlatih untuk kejohanan seperti ini, dan masa latihan yang singkat akan memburukkan keadaan.

“Saya yakin Majlis Paralimpik dan Majlis Sukan Kebangsaan sedang cuba menyelesaikan perkara ini," katanya dengan penuh harapan.

Kehidupan selepas sukan

Isu lain yang dekat di hatinya isu kelangsungan hidup atlet selepas mereka bersara daripada sukan.

"Ini bukan isu untuk atlet para sahaja, tetapi menjejaskan semua atlet negara. Ramai yang mendedikasikan hidup mereka kepada sukan dari usia muda, dan secara tidak langsung mengabaikan pendidikan.

“Atlet terpaksa bersara awal. Bukan semua boleh terus bersaing sehingga umur 42 tahun seperti (pemandu Formula 1) Fernando Alonso,” katanya.

Ini amat penting bagi atlet para, katanya, kerana orang kurang upaya biasanya menghadapi diskriminasi sejak usia muda dan seterusnya mendapat kurang peluang dalam hidup.

Carmen sendiri pernah menghadapi diskriminasi dalam pasaran kerja.

Kongsinya, ada satu ketika dia cuba menghantar permohonan pekerjaan secara dalam talian. Tetapi dia tidak dapat menghantarnya kalau dia tidak satu kotak untuk berkata dia bukan seorang OKU.

Namun dalam permohonannya dia telah jujur berkata dia seorang atlet para. Syarikat itu akhirnya menolak permohonannya, walaupun sebab-sebabnya tidak jelas.

Perubahan budaya

Baru-baru ini, dasar baru telah memperbaiki keadaan atlet profesional di Malaysia, seperti menawarkan kontrak dua terma untuk atlet dalam program podium dan membuat sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso).

Lebih banyak boleh dilakukan untuk membantu atlet bersedia untuk hidup selepas sukan, katanya, dan ini memerlukan perubahan budaya di kalangan jurulatih, kakitangan sokongan, dan pengurusan.

Katanya, pembangunan atlet mestilah lebih menyeluruh, dengan atlet disokong untuk menceburi minat lain termasuk akademik, walaupun ada kalanya terpaksa tidak hadir latihan.

"Negara lain telah berjaya membuktikan bahawa ia adalah mungkin untuk memupuk kedua-dua aspek (sukan dan akademik) secara serentak.

"Di UK, universiti sering menekankan sukan bersama-sama dengan akademik, sampaikan ada universiti yang memasukkan kemudahan sukan, latihan dan jurulatih dalam tawaran mereka," katanya.

Setelah berjaya mendapat tempat di Universiti Cambridge atas pencapaian akademik, Carmen percaya sukan dan akademik boleh dilakukan serentak.

“Saya lulus dari sebuah universiti yang sangat pentingkan pencapaian akademik dan kerjaya sukan saya tidak memainkan sebarang peranan dalam kemasukan saya ke Cambridge.

“Namun, saya dapat berenang dengan pasukan universiti selama tiga tahun dan bersaing dalam pertandingan kebangsaan di UK kerana terdapat banyak pertandingan antara universiti berskala besar.

“Pihak universiti memberi kepentingan kepada pertandingan-pertandingan ini dan memberi peluang pelajar cemerlang dalam sukan, di samping mencapai tuntutan akademik yang tinggi,” katanya.

Tambahnya, pelajar perlu mempunyai pilihan dan tidak terhad untuk memilih antara menjadi salah satu atau yang lain.

Lebih penting lagi, katanya, perlu lebih banyak usaha dilakukan untuk membantu atlet Malaysia bersedia meneruskan hidup selepas aktif bersukan daripada sekadar memberi seminar atau ceramah kerjaya.

"Perubahan perlu datang dari dalam pasukan jurulatih dan pengurusan untuk membolehkan mesej itu sampai ke atlet dengan lebih baik.

"Ia boleh dilakukan melalui perbualan santai yang lebih terbuka dengan atlet dan ia harus berlaku sekerap mungkin, seperti setiap hari di masa rehat, sebagai contoh," katanya.

Berakhir dengan kejayaan

Perancangan perjalanan karier sukan dan hidup selepas tidak aktif bersukan bagi Carmen adalah jelas.

Dia telah menetapkan tarikh persaraan pada tahun 2026. Ini bermakna Kejohanan Paralimpik di Paris tahun ini merupakan peluang terakhirnya meraih pingat Paralimpik.

Dia juga berharap untuk mengakhiri kerjaya renangnya yang luar biasa dengan jayanya di podium pemenang Sukan Para Asean pada Januari 2026.

Setelah itu, dia akan memberi seratus peratus fokusnya kepada kerjaya perguaman, katanya.

Dia mengakui bagaimana menceburi sukan renang telah membantunya menjadi seorang yang lebih kuat.

"Sukan renang telah mengajar saya ketahanan.

“Saya selalu berpesan pada diri saya bahawa keajaiban sebenar berlaku apabila saya menangani perkara yang sukar daripada mengelaknya," katanya.

"Tekun berusaha untuk menangani saat-saat sukar akan membawa anda ke tempat yang anda inginkan.

“Selama-lama yang anda mampu,” katanya.


MALAYSIANSKINI adalah siri artikel mengenai rakyat Malaysia yang memberi inspirasi.

Pada bulan Mac, kami akan menyiarkan wawancara dengan para wanita terkemuka di Malaysia, melalui siri Wanita Di Hadapan sempena Hari Wanita Antarabangsa.


BACA BERRKAITAN:

'Saya tak sesali apa-apa' - Pengasas PSM terus cekal bela yang tertindas

Rezeki berganda: Bagaimana pinjaman RM5,000 ubah hidup wanita

Dengan filem, Nadira Ilana singkap kisah sebenar Sabah