Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tanpa penjaga sah anak terdampar tak boleh mohon kewarganegaraan'

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Anak terdapampar yang berumur di bawah 18 tahun tidak boleh memohon kewarganegaraan jika mereka tidak mempunyai penjaga atau penjaga yang sah.

Oleh itu, meminda undang-undang untuk menghapuskan kerakyatan automatik bagi anak terdampar akan meletakkan lebih ramai anak seumpamanya dalam risiko tanpa kerakyatan, kata Pengarah Pembangunan Sumber Manusia untuk Kawasan Luar Bandar (DHRRA) untuk perlindungan sosial, Maalino Ramalo.

Dia menjawab kenyataan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, yang berkata undang-undang itu tidak merugikan anak terdampar kerana masih ada laluan untuk kewarganegaraan melalui permohonan.

Malini berkata dalam banyak kes yang dikendalikan oleh DHRRA, anak terdampar perlu menunggu empat hingga lima dekad sebelum menerima kerakyatan, biasanya dengan bantuan undang-undang atau NGO, walaupun Perlembagaan Persekutuan kini memberikan kerakyatan automatik.

Katanya, ini mungkin mengambil masa lebih lama jika kerakyatan hanya boleh diperoleh melalui permohonan, yang memerlukan campur tangan menteri.

“Anak terdampar sering diberikan kad pengenalan hijau, yang hanya mengakui mereka sebagai penduduk sementara, walaupun bergantung kepada bantuan kebajikan sepanjang hayat mereka.

“Sebelum layak memohon kewarganegaraan, individu mesti diambil anak angkat secara sah atau mendapatkan penjagaan.

"Dan jika tiada sesiapa untuk membantu mereka, mereka akan menjadi pemegang IC hijau sepanjang hidup mereka," jelas Maalini.

Perbaiki proses, bukan ubah undang-undang

Maalini bercakap kepada Malaysiakini mengenai salah satu pindaan Perlembagaan Persekutuan yang akan menghapuskan kerakyatan automatik untuk anak terdampar yang mengundang kritikan.

Di sebalik kritikan terhadap cadangan pindaan itu, Saifuddin tetap bertegas akan meneruskan rancangan menyelaraskan lagi proses permohonan kewarganegaraan dengan meminda 14 undang-undang lain yang berkaitan.

Menteri itu berharap dapat memendekkan masa pemprosesan permohonan kewarganegaraan kepada satu tahun dan menolak kebimbangan bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan itu akan membawa kepada pertambahan anak tanpa kerakyatan di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail

Dia juga mendakwa bahawa perubahan kepada undang-undang adalah untuk mengelakkan "salah guna" oleh warga asing, yang didakwa meninggalkan bayi mereka selepas bersalin di hospital awam, mengetahui mereka akan mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik.

Saifuddin berkata ini juga membebankan kerajaan dengan bil hospital yang besar mencecah jutaan ringgit.

Bagaimanapun, pengkritik telah membalas dengan mengatakan bahawa kes seperti itu tidak melibatkan anak terdampar kerana kakitangan hospital boleh membuktikan keibubapaan bayi tersebut dan kementerian telah menyalah tafsir undang-undang.

Suhakam juga berkata Kementerian Dalam Negeri tidak memberikan sebarang data empirikal untuk menyokong cadangan pindaan undang-undang kewarganegaraan.

Malini berkata alasan bahawa klausa itu membenarkan kerakyatan automatik untuk anak terdampar terbuka kepada penyalahgunaan adalah meleset kerana proses itu masih memerlukan pengesahan sebelum kerakyatan diberikan.

"Jika niatnya adalah untuk memberikan kerakyatan melalui prosedur yang betul, mengapa tidak menambah baik proses semasa tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan?" soalnya.


PANDUANKINI | Pindaan perlembagaan akan burukkan lagi isu tiada kerakyatan?


Maalini turut berkongsi dua kes anak terdampar yang mendapat kewarganegaraan dalam lingkungan 40-an dan 50-an dengan bantuan luar.

Dalam satu keadaan, seorang anak boleh memohon kewarganegaraan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, yang memperkatakan tentang kewarganegaraan melalui naturalisasi, manakala seorang lagi anak terdampar mengikuti jalan perundangan dengan bantuan peguam.

"Jenis-jenis kes ada pelbagai, itulah sebabnya penting untuk menyediakan langkah-langkah perlindungan untuk anak terdampar yang tidak mempunyai penjaga, memastikan seseorang boleh campur tangan dan memberikan sokongan dan penjagaan yang diperlukan," kata Maalini.

Kepelbagaian senario awal anak terdampar merumitkan lagi keadaan dan mengeruhkan proses permohonan kanak-kanak itu, seperti kes-kes yang melibatkan pembuangan di rumah pengasuh.

Dia berkata isu itu terletak pada kegagalan kerajaan untuk mengiktiraf kes pembuangan bayi.

“Bukan semua anak terdampar akan diletakkan di rumah anak yatim dan tidak semua anak terbiar boleh mencari keluarga angkat.

"Walaupun mereka berbuat demikian, keluarga tersebut sering kekurangan pengetahuan tentang prosedur undang-undang yang diperlukan untuk pengangkatan yang betul," katanya.

Dalam banyak kes, disebabkan kurangnya pemahaman tentang proses pengangkatan, ahli komuniti yang menemui bayi sering mengasuh kanak-kanak itu, secara tersilap percaya mereka telah mengambil bayi itu secara sah.

“Ramai anak terdampar di Malaysia Timur dan Barat, apabila ditemui, diasuh oleh pasangan yang tidak mempunyai anak, dan secara tidak sengaja tanpa kesedaran tentang proses itu, mendakwa anak itu sebagai milik mereka atau yakin mereka telah melakukan secukupnya untuk menjadi sebagai ibu bapa angkat anak itu.

"Oleh itu, mereka mungkin tidak mengikut prosedur yang betul pada masa yang sesuai, secara drastik menjejaskan permohonan kewarganegaraan anak terdampar itu," jelasnya.

RM6b hilang kerana menafikan kerakyatan

Turut berkongsi sentimen sama menolak penjelasan Saifuddin ialah Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang menekankan kebimbangan bahawa pindaan itu akan memburukkan lagi keadaan semasa, berpotensi mewujudkan generasi baru individu tanpa kewarganegaraan.

Menekankan kesan ekonomi tanpa kerakyatan, ia memetik kajian 2019 yang dijalankan oleh pejabat Ahli Parlimen Subang, yang mendedahkan anggaran kerugian tahunan RM6 bilion.

Kerugian ini berpunca daripada penafian kewarganegaraan kepada kira-kira 300,000 individu yang dilahirkan di Malaysia atau ibu bapa Malaysia.