Skip to main
Logo Malaysiakini

Rafidah tegur 'kaki bakar' - Henti ambil kesempatan isu stoking

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Bekas menteri Rafidah Aziz hari ini menggesa Putrajaya menghentikan pihak yang bersuara lantang dalam gabungan parti pemerintah daripada mencetuskan ketegangan lagi dalam isu stoking yang tertera kalimah Allah.

Rafidah berkata tiada sesiapa pun harus dibenarkan mengambil kesempatan secara politik daripada isu itu.

Walaupun dia tidak menyebut nama, Rafidah dipercayai secara tidak langsung mengulas kelantangan Ketua Pemuda Umno Akmal Salleh atas pendirian tegasnya berhubung kontroversi stoking "Allah".

Rafidah menyarankan ahli politik Islam mencontohi teladan peri laku dan budi pekerti baginda Nabi Muhammad SAW apabila berhadapan dengan individu yang jahat.

“Nabi tidak membiarkan ego menguasai diri.

“Jika orang seperti ketua Pemuda tidak boleh cuba mencontohi nabi besar kita, dalam hal cara nabi melayan orang lain, maka dia tidak menegakkan apa yang agama harapkan kepadanya.

"Kami tidak memerlukan baka pembangkit semangat pemberontak (rabble rouser), yang hanya akan menimbulkan perpecahan di kalangan rakyat Malaysia," katanya pada satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Rafidah mengulas mengenai peningkatan suhu politik berhubung kontroversi stoking yang timbul minggu lalu apabila imej stoking yang tertera kalimah Allah dijual di kedai KK Mart Bandar Sunway tular di media sosial.

Walaupun pihak berkuasa telah bertindak dengan menyiasat kejadian itu, beberapa ahli politik termasuk Akmal telah terus membuat komen mengenai isu berkenaan.

Ini termasuk menyeru orang ramai memboikot KK Mart dan menuntut rangkaian kedai serbaneka itu memasang sepanduk di semua cawangannya memohon maaf kepada umat Islam.

Rafidah berkata kerajaan mempunyai banyak lagi isu mendesak yang perlu ditangani dan tidak boleh diganggu gugat.

"Kerajaan tidak boleh membiarkan dirinya berada dalam situasi yang sukar kerana terpaksa menguruskan pemberontak dalamannya dan memastikan ketegangan tidak meningkat.

“Sudah ada begitu banyak isu mendesak untuk ditangani dan diuruskan...tanpa terganggu oleh masalah tidak wajar seperti isu stoking.

"Tindakan sudah diambil. Tiada siapa yang boleh dibenarkan mengambil kesempatan daripada politik. Masyarakat dan negara akan terluka dengan semua itu," katanya.