Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu stoking: Peguam mahu kumpulan 'vigilante' juga disiasat

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Pihak berkuasa digesa menyiasat kumpulan 'vigilante' yang mengambil tindakan sendiri sehingga menyebabkan dua individu dipenjarakan dan didenda berhubung komen yang menghina Islam susulan isu stoking tertera kalimah Allah.

Peguam-perguam yang dihubungi merujuk kepada hukuman yang dikenakan ke atas Chiok Wai Loong dan Ricky Shane Cagampang di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Kumpulan vigilante - merujuk kepada kumpulan yang sukarela mengambil tindakan sendiri - sebelum ini menemui serta mengganggu Chiok dan Ricky supaya mereka mengakui kesalahan mereka.

Bercakap kepada Malaysiakini, peguam Andrew Khoo berkata, jika pihak berkuasa tidak melakukan siasatan segera terhadap kumpulan itu, ia menunjukkan bahawa sistem undang-undang hanya melindungi kepentingan mereka yang berada dalam "kedudukan majoriti".

"Kesimpulan yang tidak dapat dielakkan ialah bahawa hak-hak tertuduh, yang dianggap telah menyentuh perasaan majoriti, boleh diabaikan dengan mudah," katanya kepada Malaysiakini.

Peguam yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dan peguam jenayah, Rajsurian Pillai juga berkongsi pandangan sama.

Hassan menegaskan pihak polis sepatutnya bertindak dengan adil kerana kumpulan berkenaan telah mengambil alih tugas polis - yang menjadi satu kesalahan dari sudut undang-undang.

"Negara kita ada undang undang, ada polis untuk menjalankan siasatan dan tangkapan dan ada mahkamah untuk membicara dan menghukum.

"Vigilante ini mengambil alih tugas polis. Ini salah dari segi kedaulatan undang undang.

"Golongan vigilante itu mesti dipanggil memberi keterangan di bawah kesalahan kanun keseksaan atau penal code. Jika ada asas kesalahan perlu dibawa ke mahkamah untuk dituduh," kata wakil rakyat PKR itu kepada Malaysiakini.

Peguam jenayah Goh Cia Yee menyatakan kebimbangan bahawa sekiranya tiada tindakan diambil, kumpulan tersebut mungkin melakukan hal yang sama pada masa akan datang

Goh berpendapat bahawa media sosial mungkin menjadi faktor penyumbang kepada tindakan tersebut kerana ia menyebabkan pempengaruh menjadikan sesuatu isu sebagai ‘content’ untuk dilihat sebagai pelindung.

"Tindakan mereka mnungkin dilihat hendak menunjuk-nunjuk di kalangan masyarakat.

"Bagaimanapun, dua kesalahan tidak menjadikan satu lagi betul dan tidak seharusnya terdapat double standard ketika mengawal tingkah laku awam dalam isu sensitif," katanya kepada Malaysiakini.

Kes dipercepatkan

Sementara itu, peguam juga berpendapat sensitiviti dan kontroversi mengenai kes itu menyebabkan kes Chiok dan Ricky "dipercepatkan".

Goh berkata dalam kes Chiok, pihak pendakwaan diketuai oleh Pengarah pendakwaan Kuala Lumpur Kalmizah Salleh, yang didakwanya jarang hadir untuk kes yang melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kebiasaan pegawai pendakwa mereka sendiri (SKMM) atau timbalan pendakwa raya akan hadir. Jadi, kes (Chiok) sudah pasti disegerakan dan diberi keutamaan,” katanya.

Khoo berkata sensitiviti isu itu tidak seharusnya menjadi "alasan untuk tergesa-gesa membuat penghaiman" dan mengetepikan hak tertuduh untuk mendapatkan representasi undang-undang yang sewajarnya dan mencukupi.

Chiok dan Ricky hadir yang tanpa peguam di mahkamah masing-masing mengaku bersalah atas kesalahan mereka.

“Kedua-dua tertuduh tidak sepatutnya dihadapkan ke mahkamah tanpa memastikan mereka diwakili secara sah.

“Representasi perundangan yang mencukupi termasuk mempunyai peguam untuk bercakap bagi pihak mereka dalam meringankan hukuman.

“Sememangnya, sensitiviti perkara itu menjadikannya lebih penting bahawa orang yang dituduh mempunyai perlindungan penuh terhadap semua perlindungan undang-undang,”

kata Khoo.

[Baca berita penuh]