Skip to main
Logo Malaysiakini

'Isu gaji, persekitaran kerja kunci kekalkan doktor di sektor awam'

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Mengkaji semula gaji doktor kontrak dan menangani isu-isu persekitaran kerja menjadi kunci untuk mengekalkan mereka dalam sektor perkhidmatan perubatan awam.

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak (HDK) yang enggan namanya didedahkan, memberitahu Malaysiakini bahawa mereka memahami kedudukan kewangan kerajaan yang tidak menentu.

Namun, tambahnya, salah satu faktor yang menyumbang kepada doktor berhenti daripada perkhidmatan kerajaan adalah disebabkan tawaran gaji lebih baik yang dibayar sektor swasta.

Katanya, semakan semula skim gaji oleh Putrajaya akan mengekalkan doktor dan menarik semula minat mereka yang telah berhenti.

Jurucakap HDK itu juga berkata isu doktor terpaksa berhenti kerja kerana tidak dapat berpindah ke kawasan luar bandar atas faktor seperti kehamilan atau urusan keluarga juga masih berlarutan.

“Kami memahami sekiranya diminta berpindah ke kawasan luar bandar untuk mematuhi pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan sebagainya.

"Tetapi mereka yang mempunyai masalah seperti kehamilan, keluarga, mereka merayu kepada JPA dan Kementerian Kesihatan (KKM) tetapi tidak berjaya. Oleh itu mereka terpaksa menolak tawaran perkhidmatan tetap.

"Kami mohon KKM, sekiranya mana-mana doktor kontrak yang tidak dapat mengikut arahan mereka untuk berpindah ke penempatan tertentu di Malaysia atas sebab-sebab yang sangat penting dan wajar, sila beri peluang kedua," katanya.

Pada Selasa lalu, dalam jawapan bertulis di parlimen, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata seramai 3,046 doktor kontrak meletak jawatan dari 2021 hingga 2023.

Sejumlah 768 meletak jawatan pada 2021, 1,354 pada 2022 dan 924 tahun lepas, kata jawapan kepada Dr RA Lingeswaran.

Pada Februari, KKM dilaporkan akan melantik 6,000 lagi pegawai perubatan ke jawatan tetap antara tahun ini dan tahun depan.

Tetapi dalam jawapan bertulis sebelum ini kepada Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin pada 14 Mac, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata 1,118 pegawai perubatan tidak melaporkan diri untuk bertugas untuk jawatan tetap tahun lepas.

Ini merupakan peningkatan 1,333 peratus daripada tahun sebelumnya, dengan hanya 78 pegawai perubatan tidak melaporkan diri untuk bertugas.

Sementara itu, jurucakap HDK meluahkan beban dan tekanan menjadi doktor dalam sektor awam, kerana mereka sering bekerja berlebihan berikutan bilangan pegawai perubatan yang semakin berkurangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib juga berkata kerajaan perlu memikirkan pengurusan aduan daripada profesional penjagaan kesihatan dalam tenaga kerja sektor awam.

"Selama bertahun-tahun, terdapat banyak aduan tentang terlalu banyak bekerja, dieksploitasi, pampasan yang tidak mencukupi, gangguan seksual, buli, dan penganiayaan.

“Malah sehingga hari ini, aduan ini terus didengari. Malangnya, isu ini tidak dipandang serius malah dianggap dibesar-besarkan seperti yang digambarkan oleh bekas menteri kesihatan," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian sebagai merujuk kepada respons pendahulu Dzulkefly, Dr Zaliha Mustafa yang mengetepikan isu yang diketengahkan melalui latihan penempatan semula sebagai "dibesar-besarkan".

Tambahnya, kemerosotan tenaga kerja bukan sahaja dalam kalangan doktor, tetapi juga jururawat dan ahli farmasi dalam sektor kesihatan awam.

Jelasnya, ramai profesional kesihatan tidak bersuara kerana bimbang dengan tindakan pihak pengurusan atasan.

Selain mengakui isu itu wujud katanya, kerajaan mesti mewujudkan ruang selamat untuk perbincangan secara jujur dan berterus-terang.

"Ia perlu mengkaji semula pampasan yang adil, hak asasi manusia, profesional dan standard sumber manusia, dan potensi pembangunan profesional yang berdasarkan merit dan amalan adil.

“Sekiranya KKM gagal menangani isu-isu ini, pengurangan tenaga profesional sektor kesihatan termasuk doktor, jururawat dan ahli farmasi, daripada tenaga kerja perkhidmatan kesihatan awam akan berterusan,” katanya.