Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelanggan serbu cari baju raya ‘oren bata’ tahun ini

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Walaupun jarang-jarang dipakai orang, baju raya berwarna ‘oren bata’ menjadi buruan ramai tahun ini.

Bukan saja di kedai-kedai, gudang atas talian juga menunjukkan trend sama, menjelang hari raya puasa bulan depan.

Tinjauan Shopee awal bulan lepas menunjukkan oren bata atau menjadi salah satu pilihan utama tahun selain warna neutral, hijau dan ungu.

Sebuah butik di Alor Setar memberitahu Malaysiakini bahawa butik mereka diserbu oleh pelanggan yang mencari pakaian warna itu.

“Permintaan warna oren bata ini paling tinggi di kedai kami sama ada di atas talian mahupun di butik dan kebanyakkan stok telah habis.

“Kebetulan butik kami mengeluarkan warna oren bata bertemakan kebaya klasik yang menjadi kegilaan ramai anak gadis remaja sekarang. 

“Jadi sambutannya sangat meriah pada tahun ini,” kata pengurusnya hanya hanya mahu dikenali sebagai Karl, 33.

Sementara itu, tinjauan rawak Malaysiakini di pusat membeli belah PKNS, Shah Alam mendapati kebanyakan butik menjual pelbagai jenis pakaian dengan warna itu.

Menurut pembantu Butik Mayang Sari, Ayu, 27, oren bata paling banyak dikeluarkan pada tahun ini susulan permintaan tinggi saban hari.

Tambahnya lagi, walaupun ini kali pertama kedainya menjual warna tersebut tetapi menjadi perhatian orang ramai terutamanya kebaya tradisional.

Pembantu kedai Butik Citra Mawar, Nur Dawami, 21, pula berkata orang ramai mencari baju warna itu, terutama golongan wanita.

“Hampir setiap hari mereka datang bertanyakan warna tersebut. 

“Sudah lebih tiga kali butik kami menambah stok kerana pelanggan ramai mencari baju jenis kebaya batik dan baju kurung kosong.

“Sebelum ini warna oren bata tidak pernah kehabisan stok tetapi tahun ini sambutannya sangat luar biasa,” kata Dawami.

Sementara itu, seorang pembeli, Muhammad Efrizul, 33, berkata memang sukar mencari baju raya warna itu sehingga menyebabkan keluarganya beralih ke warna hitam.

“Agak sukar sedikit untuk saya dan keluarga mencari baju berwarna oren bata mengikut cita rasa mungkin kerana ramai yang membeli lebih awal dari kami,” kata pemandu lori itu.

Sementara itu, Nor Maziah, 33, pula memilih warna oren bata kerana dia dan keluarga belum pernah mengenakan tema tersebut.

“Saya dan keluarga bersepakat mahu memilih warna tersebut kerana melihat di aplikasi Facebook warnanya cantik jadi kami semua pakat membeli untuk sedondon pada tahun ini,” ujarnya.

Sementara itu, Zulaikha, 31, pula berkata dia terpaksa ‘turun padang’ ke PKNS kerana sukar mendapatkan produk diingini di atas talian.

 “Kami pun masih mencari baju oren bata kerana banyak kedai atas talian yang telah habis stok.

“Jadi kami datang ke PKNS hari ini untuk melihat baju-baju jika ada yang menepati cita rasa kami,” ujarnya.