'Tawaran' sokong PM: Wan Saiful yang minta, kata Zulkafperi
Ahli Parlimen Tanjong Karang Dr Zulkafperi Hanafi hari ini menepis dakwaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan bahawa dia menerima beberapa tawaran agar mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Zulkafperi mendakwa tawaran tersebut sebenarnya permintaan daripada Wan Saiful.
"Jika kita perhatikan, semua tawaran ini adalah permintaannya sebagai syarat untuk Tasek Gelugor (Wan Saiful) menyokong Anwar," katanya.
Enam tawaran tersebut adalah:
Peruntukan RM1.7 juta untuk kawasan
Peruntukan projek sebanyak RM2 juta
Bayaran untuk rawatan kemoterapi isteri Wan Saiful
Bayaran guaman untuk kes mahkamahnya
"Token" dengan had yang tak dinyatakan untuk kegunaan peribadi
Pengguguran kes mahkamah
Wan Saiful berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM5.59 juta dan dua pertuduhan rasuah berkaitan program Jana Wibawa.
Pada Jumaat lalu, Zulkafperi memfailkan usul untuk merujuk Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan kenyataannya di Parlimen sehari sebelumnya.
Zulkafperi berkata kenyataan itu menimbulkan sangkaan jahat dan cuba mengelirukan dewan.
Wan Saiful mendakwa Zulkafperi dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim berperanan sebagai ejen untuk mendapatkan sokongan ahli parlimen pembangkang terhadap Anwar.
'Berniat jahat dan berunsur fitnah'
Hari ini, Zulkafperi menyatakan yang kegagalan dirinya dan Azizi untuk membantu Wan Saiful atau menjadi "ejen" yang lebih baik menjadi punca dia membuat dakwaan itu.
"Jadi, kenyataannya di Parlimen jelas berniat jahat, fitnah, mengelirukan dewan dan memutarbelitkan fakta dan menuduh saya tanpa apa-apa bukti jelas dan saksi, sementara cuba mengheret saya ke dalam agenda peribadinya," kata Zulkafperi.
Dia berkata tindakan seumpama itu melanggar Peraturan 36(6) dan 36(12) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Pada masa sama, Azizi menyatakan dia tidak pernah berjumpa Wan Saiful sejak menjadi ahli parlimen, kecuali semasa program PN.
Dia mendakwa Wan Saiful dan seorang individu yang tidak dikenali mendekatinya ketika dia berada di kafe di sebuah hotel.
Namun katanya perbualan mereka hanya berkenaan peruntukan yang diterima Azizi sebagai ahli parlimen, di mana dia mengesahkan menerima jumlah yang sama dengan ahli parlimen kerajaan.
Dia juga berkata pertemuan itu tidak dirancang.
Pada 28 Februari lalu, Wan Saiful mendakwa dia ditawarkan habuan untuk menyokong Anwar.
Susulan itu, SPRM memintanya untuk membuat laporan serta memanggilnya untuk memberi keterangan.
Namun, Wan Saiful berkata dia tidak dapat hadir ke ibu pejabat SPRM ekoran tarikh yang tidak sesuai, selain membangkitkan soal kekebalan anggota parlimen dalam Dewan Rakyat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai