Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu stoking: Polis tak benar sesiapa ambil tindakan sendiri - Saifuddin

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa tindakan akan diambil bukan sahaja kepada pelaku yang melakukan kesalahan berhubung isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ tetapi juga kepada pihak yang ambil tindakan sendiri.

Saifuddin berkata, dalam negara yang mempunyai undang-undang, polis tidak akan membenarkan sesiapa mengambil tindakan mengikut cara sendiri.

“Polis akan mengambil tindakan, bukan sahaja terhadap pelaku tetapi juga terhadap sesiapa sahaja yang mengambil tindakan sendiri,” katanya pada sesi soal jawab pada program berbuka puasa di Putrajaya, hari ini.

"Jika kita benarkan itu (orang ramai ambil tindakan sendiri), apa akan jadi dengan negara kita?" katanya,

Jumaat lalu, seorang lelaki berusia 35 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 kerana menyiarkan komen Facebook yang menyindir kontroversi stoking tertera kalimah 'Allahh'.

Sehari sebelumnya, seorang lelaki berusia 33 tahun di Sabah turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,000 kerana kesalahan sama.

Dalam kedua-dua kes, maklumat peribadi kedua-dua individu disebarkan dalam talian, selain didatangi kumpulan yang meminta mereka memohon maaf.

Sambil mengakui isu itu besar, Saifuddin berkata kerajaan mahu beralih daripada perkara berkenaan.

“Ya, isu itu adalah perkara besar tetapi kerajaan mahu bergerak ke hadapan. Kita tidak mahu berlarutan dalam polemik yang sama berulang kali,” katanya.

“Janganlah kita memanjangkan perkara ini. Kita mahu bercakap mengenai isu rakyat, ekonomi dan subsidi,” tambahnya.