Skip to main
Logo Malaysiakini

Bom petrol di KK Mart: Pemimpin panaskan keadaan tak boleh 'cuci tangan', kata MP

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Ahli politik yang membuat kenyataan bernada "mengapi-apikan" dalam isu KK Mart secara tidak langsung bertanggungjawab dalam insiden bom petrol dibaling di sebuah cawangan kedai serbaneka itu di Perak, menurut Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii.

Yii berkata serangan seumpama itu tidak sepatutnya berlaku di Malaysia, sebuah negara yang dikatakan aman dan sederhana dengan semua kaum belajar untuk hidup secara harmoni.

"Keadaan ini secara tidak langsung disebabkan keadaan semasa di mana pemimpin tertentu yang memilih untuk mengapi-apikan perpecahan dan memburukkan masalah...berbanding mencari penyelesaian yang membina.

"Mereka tidak boleh 'cuci tangan' daripada perkara ini dan secara tidak langsung bertanggungjawab sehingga keadaan memburuk ke tahap sekarang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Walaupun tidak merujuk mana-mana pihak secara khusus, antara yang lantang bersuara mengecam KK Mart adalah Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh.

Akmal hari ini turut mengecam insiden itu dengan menyifatkannya sebagai "tindakan melampau", namun pada masa sama menggesa boikot terhadap kedai serbaneka itu diteruskan.

KK Mart mengundang kontroversi selepas stoking tertera kalimah Allah ditemukan di tiga cawangannya.

KK Mart dan syarikat yang membekalkan stoking itu telah memohon maaf dan mendakwa insiden itu berlaku ekoran kesilapan.

Bagaimanapun Akmal terus lantang mengecam KK Mart, antaranya menggesa tindakan dikenakan terhadap syarikat itu.

Sementara itu, Yii menggesa polis menyiasat insiden hari ini secara terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Berkenaan isu stoking pula, Yii berharap perkara itu dapat ditentukan oleh undang-undang, dengan pendakwaan telah pun dibuat di mahkamah.

"Sama ada kita setuju dengan langkah itu (atau tidak), mahkamah akan menjadi platform terbaik untuk membuktikan dan menyelesaikan perkara ini berdasarkan fakta dan bukti, berbanding emosi sesetengah kelompok.

"Sebab itu penting untuk serahkan perkara ini kepada undang-undang dan tidak lagi memburukkan isu.

"Ketika melihat masalah, pemimpin yang bertanggungjawab seharusnya mencari jalan untuk menyelesaikannya secara damai dan menjadi jambatan, bukannya memecahkan masyarakat," katanya lagi.