Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Kes ugutan bakar kilang pembekal stoking masih dalam siasatan’

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Polis telah membuka kertas siasatan berhubung ugutan terhadap syarikat pengedar stoking, Xin Jian Chang Sdn Bhd berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan.

"Ada kita buka kertas siastan, semua yang melibatkan isu 3R ini khususnya kepada kes KK Mart inilah, kita buka (kertas siasatan).

"Tapi kertas siasatan masih belum lengkap," katanya pada sidang media Bukit Aman, hari ini.

Pada 19 Mac lalu, Xin Jian Chang Sdn Bhd mendedahkan terdapat pihak mengugut untuk membakar kilang mereka.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, ia susulan kontroversi pengedaran stoking tertera kalimah Allah SWT.

"Ada ancaman keganasan, termasuk membakar kilang kami dan membahayakan nyawa. Data peribadi pegawai syarikat seperti alamat kediaman juga dibocorkan di media sosial.

"Susulan itu, kami mohon rakyat Malaysia untuk kekal tenang dan menahan diri daripada terbabit dalam sebarang bentuk keganasan.

"Perkara ini kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berdasarkan undang-undang," katanya.

Ditanya mengenai insiden cawangan KK Mart di Bidor dibaling bom petrol semalam, Shuhaily memaklumkan kawalan ketat diambil bagi memastikan keharmonian terjamin.

"Bukan sahaja (kawalan) di KK Mart, tak semestinya sasar KK Mart. Jelas itu arahan ketua polis negara kepada semua ketua polis negeri.

"Tumpuan yang khusus berkaitan premis dan isu-isu perkauman buat masa ini," katanya lagi.