Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis: Tiada aduan pada geng silat 'nasihat' lelaki perolok isu stoking

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Tiada laporan polis diterima berhubung tindakan beberapa individu terhadap lelaki yang memperolokkan isu stoking bertulis kalimah Allah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung perkara itu.

Mohd Shuhaily Mohd Zain

"Jangan ambil tindakan sendiri kerana dia akan memudaratkan diri sendiri.

"(Setakat ini) tiada laporan (polis) daripada individu berkenaan.

"Ingat segala jenayah yang kemudiannya didakwa dan dijatuhkan hukuman, rekod jenayah kekal," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Pada 22 Mac lalu, juruteknik aplikasi sosial yang dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 itu berkata dia hanya menjadi jaguh siber dan tidak mengetahui apa yang ditulisnya itu menghina agama Islam.

Tertuduh, Chiok Wai Loong, 34, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin, atas pertuduhan membuat hantaran bersifat jelik.

Sebelum ini, media melaporkan lelaki terbabit tampil memohon maaf secara terbuka selepas didakwa menambahkan ketegangan dalam isu penjualan stoking bertulis kalimah Allah di kedai serbaneka itu.

Dia membuat permohonan itu dengan dikelilingi sekumpulan lelaki yang mencarinya kerana tidak berpuas hati dengan komennya.

Kumpulan itu dipercayai terlibat dengan kumpulan silat, berdasarkan status-statusnya di media sosial.

Lelaki itu mencetuskan kemarahan pengguna maya selepas didakwa mengeluarkan komen meminta orang ramai tidak terlalu sensitif dengan isu itu.

Dia malah didakwa cuba membuat kelakar dengan memuat naik gambar stoking yang memuatkan wajahnya sendiri.

Mengulas lanjut, Shuhaily menasihati orang ramai supaya tidak bertindak sendirian dalam isu ini dan perlu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

"Saya tahu, saya seorang Melayu, saya seorang Muslim perkara ini sensitif banyakkan bersabar dalam bulan puasa ini," katanya lagi.