Skip to main
Logo Malaysiakini

Perbahasan pindaan kewarganegaraan ditangguh ke sidang akan datang

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Perbahasan untuk cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung undang-undang kewarganegaraan ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat yang seterusnya, yang dijadual akhir Jun ini.

Ia selepas Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail membentang RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 untuk bacaan kedua hari ini.

Namun, tidak lama kemudian, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul mengumumkan penangguhan sesi Dewan Rakyat kali ini.

Susulan itu, Shahidan Kassim (PN - Arau) menyerang pihak kerajaan dengan berulang kali melaungkan "penakut".

RUU ini memerlukan majoriti dua pertiga ahli parlimen memandangkan ia melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Pada Isnin lalu, Saifuddin membentangkan RUU itu untuk bacaan pertama dan berkata bacaan kedua dan ketiga juga akan dibuat pada sesi kali ini, yang berakhir hari ini.

Ia selepas kerajaan setuju untuk menggugurkan pindaan yang menafikan kewarganegaraan automatik untuk bayi terabai.

Kerajaan juga menggugurkan pindaan yang memberi kesan kepada Orang Asli yang tidak berstatus kewarganegaraan.

Namun, sejumlah pihak berkata pindaan yang dikekalkan tetap bermasalah.

Ketika pembentangan hari ini, Saifuddin sekali lagi menyatakan pindaan perlembagaan tersebut bukan bertujuan menafikan hak mendapatkan kewarganegaraan kepada mana-mana kumpulan masyarakat.

Sebaliknya, dia berkata RUU itu dirangka dengan cermat bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara, yang merupakan perkara paling utama.

"Agenda nasional adalah memelihara rakyat dan negara dari sebarang ancaman keselamatan luar, yang jika tidak ditadbir urus secara ketat boleh melumpuhkan sistem pentadbiran negara," katanya.

Selaku negara anggota Konvensyen Hak Kanak-Kanak PBB, Saifuddin berkata Malaysia tidak pernah menafikan pemberian kewarganegaraan kepada bayi terabai.

Katanya, masih ada cara bagi bayi terabai mendapat status kewarganegaraan.

"Pewujudan dikotomi ini bersesuaian dengan objektif KDN iaitu mengekalkan keamanan, keselamatan negara, membanteras segala bentuk ancaman berunsur subversif, ekstremis, espionaj, sabotaj, kekerasan, keganasan dan seterusnya memastikan keharmonian rakyat seluruhnya terjamin," katanya lagi.

Laporan oleh Isabelle Leong, Zarrah Morden, Shahrin Aizat Noorshahrizam, Shakira Buang, and N Faizal Ghazali