Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis gugur siasatan dakwaan pekerja dieksploitasi, rujuk ke JTK

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Polis Petaling Jaya tidak akan membuka kertas siasatan terhadap dakwaan eksploitasi dan pengambilan tidak beretika yang dilaporkan 55 pekerja asing menerusi dua laporan polis sejak 12 Mac lalu.

Antaranya pekerja yang ditahan di balai polis Dang Wangi, kira-kira seminggu selepas mereka membuat laporan yang mendakwa mereka dipergunakan dan tidak dibayar gaji oleh majikan.

Namun Malaysiakini difahamkan laporan itu dipindahkan kepada polis daerah Petaling Jaya memandangkan pejabat majikan terletak dalam kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata polis bagaimanapun merujuk ke itu ke Kementerian Sumber Manusia.

"Kementerian telah mengarahkan Beaks Construction Sdn Bhd dan Suria Harmoni Resources Sdn Bhd untuk menghantar pekerja pulang atau memindahkan mereka ke syarikat lain untuk bekerja.

"Syarikat turut diarahkan untuk membayar gaji pekerja bermula pada tarikh mereka dibawa ke Malaysia," kata Shahrulnizam kepada Malaysiakini.

Pada 12 dan 20 Mac, pekerja membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sentul, mendakwa dua syarikat pemaju tidak membayar gaji, tidak memenuhi janji berkenaan pekerjaan, pengambilan pekerjaan tidak beretika dan eksploitasi.

Bagaimanapun, sehari selepas laporan dibuat, majikan membawa tiga pekerja ke IPD Dang Wangi dan mendakwa mereka terlibat dalam perbalahan.

Mereka direman selama empat hari bagi membantu siasatan namun dibebaskan dengan jaminan polis selepas dua hari.

Pekerja juga mendakwa pasport mereka dipegang majikan, mereka tidak diberikan kerja dan tidak dibayar selama tujuh bulan.

Bayar RM19k untuk kerja di Malaysia

Bercakap dengan Malaysiakini, seorang pekerja yang enggan dinamakan berkata mereka membayar tidak kurang RM19,000 kepada ejen pengambilan di Bangladesh untuk bekerja di Malaysia.

"Saya tandatangan kontrak sejam sebelum naik kapal terbang ke Malaysia. Saya tak sedar jika majikan saya telah pun tandatangan perjanjian tiga tahun," katanya.

Sementara itu, Shahrulnizam berkata Jabatan Tenaga Kerja Petaling Jaya telah mengarahkan majikan untuk menyelesaikan masalah yang ada selepas pekerja membuat laporan.

"Kementerian mengarahkan syarikat pada 7 Mac lalu." katanya lagi.

Laporan polis pekerja juga dijadikan sebagai notis kepada Kedutaan Bangladesh di Malaysia yang majikan memegang pasport mereka.

Malaysiakini telah menghubungi Beaks Construction and Suria Harmoni, serta Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja untuk mendapat respons mereka.

[Baca berita asal]