Skip to main
Logo Malaysiakini

Serangan ke atas KK Mart: Lim gesa MKN bersidang

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersidang berhubung isu berkaitan KK Mart, susulan serangan ketiga ke atas cawangan kedai serbaneka itu dua hari lalu.

Lim berkata MKN perlu mengambil langkah segera bagi mengelakkan sebarang anasir yang mampu menggugat keamanan dan keharmonian masyarakat.

Lim Guan Eng

"Lebih membimbangkan kali ini apabila cawangan KK Mart yang diserang adalah di Sarawak, negeri yang dianggap paling harmoni dalam toleransi antara agama, negeri yang terkenal kerana mengamalkan perpaduan dalam kepelbagaian serta negeri asal pemilik KK Mart.

"Jelas sekali ini menunjukkan tiada lagi tempat yang selamat di Malaysia daripada serangan ke atas cawangan KK Mart," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tidak seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang memerlukan budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Rang Undang-undang MKN adalah di bawah kuasa langsung perdana menteri.

Selain Perdana Menteri, Anwar Ibrahim selaku pengerusinya. MKN dianggota oleh sembilan anggota lain. Antara mereka timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi, Fadhilah Yusof, dan beberapa menteri kabinet.

Turut dalam jawatankuasa itu Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Lim juga mengkritik tindakan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh yang tetap menggesa KK Mart diboikot, walaupun selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah agar isu tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa.

Katanya, Seri Paduka juga bertitah bahawa telah mengarahkan agar tindakan sewajarnya untuk diambil, maka tidak perlu bagi mana-mana pihak untuk menyalakan api kemarahan.

“Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno enggan mempedulikan titah diraja ini dan masih meneruskan boikot terhadap KK Mart.

“Ini adalah sikap yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak wajar bagi seorang pemimpin kerajaan negeri Melaka yang merupakan sebahagian daripada kerajaan perpaduan di Putrajaya.

“Biarpun Ketua Pemuda Umno menafikan sebarang motivasi politik dan mengutuk serangan ke atas KK Mart, pemboikotan ini tidak menghentikan serangan ganas ke atas KK Mart oleh anasir pelampau yang berbahaya,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Bagan itu, memandangkan kepimpinan nasional Umno juga memutuskan untuk menyokong tindakan ketua pemudanya bagi meneruskan boikot ini, maka kerajaan Persekutuan mesti mengambil langkah untuk mengelakkan sebarang tindakan yang menyemarakkan lagi api kemarahan menjadi lebih berbahaya di luar kawalan.

“Perdana Menteri harus memanggil mesyuarat tergempar MKN bagi membincangkan situasi ini dan mengambil langkah-langkah segera untuk mengelakkan sebarang anasir pencetus yang mampu menggugat keamanan dan keharmonian dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama,” kata Lim lagi.