Skip to main
Logo Malaysiakini

Tabung Haji: Terserah pada k'jaan untuk dedah laporan RCI pada umum

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan kepada kerajaan sama ada ingin mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap badan itu kepada umum atau tidak.

Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO TH Syed Hamadah Syed Othman berkata pihaknya telah memberi maklum balas terhadap segala syor yang dikemukakan RCI.

"Berhubung RCI sama ada didedahkan kepada awam atau pun tidak itu hak kerajaan.

"Jadi, TH telah memberikan respon kepada semua syor yang telah dibuat oleh RCI kepada kerajaan Malaysia.

"Keputusan untuk RCI ini didedahkan kepada awam ataupun tak, terletak kepada dasar kerajaan," katanya dalam sidang media pengumuman agihan hibah TH di bangunan Menara TH di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada Jan 2022, kerajaan mengumumkan pelantikan enam ahli RCI diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Mohamed Raus Sharif setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit dalam tempoh 2014 hingga 2020.

Pada 14 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar memberitahu Dewan Rakyat bahawa RCI berhubung pengurusan dan operasi TH telah pun siap.

Mohd Na'im berkata TH telah memulakan langkah pemulihan dan penambahbaikan dengan mengambil kira syor yang diberikan suruhanjaya itu.

Bagaimanapun dia berkata tidak memperincikan garis masa untuk pendedahan laporan tersebut, jika kerajaan memutuskan untuk berbuat demikian.

Ditanya mengenai cadangan TH untuk menaikkan kadar caruman bagi pendaftaran haji yang kini sebanyak RM1,300, Syed Hamadah berkata perkara itu masih belum diputuskan.

"Namun kita sedang mengkaji kadar itu dan belum ada kata muktamad mengenai kata tersebut. insya-Allah mungkin dalam masa terdekat kita akan buat pengumuman mengenai perkara ini," katanya.

Mengulas mengenai peningkatan lapan peratus bagi kos kadar haji tahun ini, dia berkata dia di luar kawalan TH dan menjelaskan sebahagian besar daripada peningkatan itu membabitkan penempatan di Arab Saudi.