Skip to main
Logo Malaysiakini

Lawan isu 3R dengan semai patriotisme, bukan tutup media sosial - Pakar

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Beberapa pakar komunikasi dan penganalisis politik tidak bersetuju cadangan agar kerajaan menutup sebahagian platform media sosial.

Mereka berpendapat langkah itu tidak akan membantu mengekang sentimen perkauman dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata, kerajaan sewajarnya memfokuskan strategi perang saraf yang berkesan baik menerusi media sosial atau media tradisional bagi mengendurkan isu perkauman terutamanya hal melibatkan 3R (kaum, agama dan raja).

“Pihak kerajaan harus memikirkan strategi untuk menyemai semangat patriotisme yang bersandarkan kepada perlembagaan dan Rukun Negara sehingga menguasai algoritma di platform media sosial.

“Apa yang penting adalah masyarakat dapat memahami kembali identiti kebangsaan negara ini. Pihak kerajaan harus bekerjasama dengan badan pemikir untuk mendominasikan kembali naratif kenegaraan yang sebenar di negara ini.

“Program-program seperti forum, dokumentari , media serta hiburan yang berkonsepkan identiti kenegaraan sebenar negara harus diperhebatkan agar naratif patriotisme yang menyatukan bangsa dapat menjadi dominan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pakar kriminologi, Shahul Hamid Abd Rahim menyarankan agar kerajaan mengkaji semula keperluan untuk menutup akses sesetengah aplikasi media sosial.

Katanya, ia bagi menangani kandungan yang memudaratkan terutama melibatkan unsur perkauman, kebencian dan aktiviti scam atas talian.

Hal ini berikutan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan, ucapan berbaur kebencian di media sosial telah mencapai peningkatan yang sangat ketara dengan bilangan sebanyak 27,115 kandungan telah diturunkan pada dua bulan pertama tahun ini.

Pengarah Eksekutif Bersih, Ooi Kok Hin menegaskan bahawa cadangan ini menunjukkan “pakar” berkenaan mungkin belum melaksanakan kajian mendalam.

“Aplikasi media sosial mana yang hendak ditutup? Facebook atau WhatsApp adalah aplikasi yang paling lazim diguna oleh rakyat Malaysia. Adakah aplikasi ini yang dicadangkan oleh pakar itu?

“Dia harus sedar cadangannya ini memberikan kesan bukan sahaja kepada hak kebebasan bersuara akan tetapi bisnes-bisnes tempatan yang bergantung pada platform-platform ini untuk mencapai pelanggan,” katanya.

Ooi menekankan isu ini harus diselesaikan dengan sistem pengawalan isi kandungan yang responsif dan efisyen hasil kerjasama pihak kerajaan dan syarikat-syarikat media sosial.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Azmil Tayeb pula berpendapat penyebar kebencian dan perkauman di media sosial hanya akan bertukar ke platform yang lain sekiranya laman media sosial yang mereka aktif ditutup oleh pihak kerajaan.

“Media sosial adalah medium untuk pengguna melepaskan rasa marah dan tak puas hati. Saya rasa medium ini penting akan tetapi pada masa yang sama janganlah sampai ke tahap kebencian itu boleh mengundang kekerasan,” katanya.

Dia turut meletakkan masalah perkauman yang semakin memuncak di negara ini kepada ketidaktegasan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bersama kabinet dalam menolak segala unsur yang membawa ketidakharmonian di negara ini.

“ Perdana Menteri dilihat tidak tegas dan jelas dalam isu keharmonian negara. Seolah-olah beliau tidak mahu dilihat cenderung ke arah bangsa bukan Melayu serta tidak mahu kehilangan undi Melayu,” katanya.

Sementara itu, Duta Perpaduan Selangor 2023, Aisyah Adly, berpandangan cadangan agar menutup beberapa platform media sosial, hanya akan memperlihatkan kerajaan menyekat hak kebebasan individu untuk bersuara.

“Harus diingatkan bahawa bahawa platform media sosial itu sendiri adalah alat yang neutral. Unsur kebencian, penipuan, dan perkauman adalah berpunca daripada tingkah laku pengguna itu sendiri,” katanya.

Aisyah mencadangkan agar pihak kerajaan melihat model-model daripada negara luar tentang bagaimana mereka menangani penyebaran unsur kandungan perkauman dan kebencian di negara sana.

“Kita boleh lihat modul relatif dari negara Jerman, undang-undang penguatkuasaan jaringan dilaksanakan di mana platform media sosial yang gagal menyekat isi kandungan dalam masa 24 jam atau 7 hari (bagi kes rumit) akan dikenakan denda sebanyak 50 juta euro,” katanya.

Sementara itu Penganalisis dari firma bebas O2, Anis Sina, menyarankan agar kerajaan mengambil pendekatan lebih kreatif dalam menangani isu ini.

“Antara langkah alternatif yang boleh dilaksanakan adalah pihak kerajaan berunding dengan pihak penyedia perkhidmatan media sosial untuk meregulasi algoritma yang mengutamakan kandungan media berbentuk pendidikan, gaya hidup dan lain-lain berbanding topik-topik yang sensitif dan perkauman,” katanya.

Namun Anis mengingatkan, dalam mana-mana bentuk tindakan yang menjadi pilihan kerajaan melalui pendekatan yang tegas dan keras ataupun kreatif, kerajaan perlu bersifat telus berasaskan data bukannya spekulasi.

“Laporan secara berkala perlu juga dibentangkan dengan menunjuk statistik kandungan dan reaksi yang membawa kepada berita palsu dan isu 3R bagi setiap platform dan setiap bahasa perantara.

“Data-data sebegini juga akan memandu kerajaan dan rakyat dengan lebih objektif dan rasional,” katanya.