Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah benarkan Rosli cabar polis kaitkannya dengan laporan AirAsia

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberikan kebenaran kepada peguam Rosli Dahlan untuk meneruskan semakan kehakiman berhubung dakwaan pihak polis yang mengaitkannya dengan laporan dibuat oleh AirAsia Berhad.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid memberikan kebenaran memohon semakan kehakiman kepada peguam veteran pada perbicaraan pagi ini, sekaligus membuka jalan bagi merit tindakan undang-undang untuk perbicaraan pada masa akan datang.

Menurut salinan sokongan afidavit, Rosli mendakwa sembilan responden telah menyalahgunakan kuasa dan proses undang-undang untuk mencemarkan namanya dengan mendakwa secara palsu bahawa dia terlibat dengan laporan AirAsia terhadap i-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd.

Sembilan responden pertama itu ialah; Ketua Polis Negara Razarudin Husain, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ramli Mohamed Yoosuf, ketua pasukan pencegahan pengubahan wang haram Muhammad Hasbullah Ali beserta tiga pegawai polis lain, pasukan polis, Jabatan Imigresen dan Kerajaan Malaysia.

Rosli mendakwa semua responden terbabit telah mengaitkannya secara palsu dengan tuduhan penipuan pada tahun 2018.

"Saya tidak ada kena-mengena dengan perkara tersebut. Saya bukan pemegang saham/pengarah/pegawai/pekerja syarikat tersebut (i-Serve) dan tidak mempunyai sebarang kaitan/pembabitan dalam pengurusan atau operasi syarikat.

"Bersandarkan laporan polis tersebut, responden-responden telah secara palsu dan salah membekukan semua akan bank saya, termasuk akaun-akaun ASNB saya, dan menangkap saya pada 26 Okt 2023, yang mencemarkan reputasi saya sebagai seorang peguam, menganiayai dan menyusahkan saya," katanya.

Peguam berkenaan mendakwa bahawa ini merupakan taktik penganiayaan politik terhadapnya, berikutan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Ogos tahun lalu yang membatalkan empat tuduhan penyalahgunaan kuasa terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Rosli merupakan sebahagian daripada pasukan guaman Muhyiddin (gambar atas).

"Sejak pembebasan TSMY (Muhyiddin), serangan politik telah berubah fokus untuk menyasarkan saya dan firma guaman saya. Fakta sebenar ialah saya adalah apolitik.

"Saya bukan ahli Bersatu mahupun ahli mana-mana parti politik. Sebagai seorang peguam, saya bertindak dalam kes-kes berkepentingan awam apabila diperlukan untuk mencapai keadilan," kata Rosli.

Tidak takut

Dia mendakwa bahawa ini bukan kali pertama institusi negara memfitnahnya, sebelum ini SPRM telah meminta maaf kepadanya dalam kes sivil yang berasingan pada tahun 2016.

"Saya mempunyai reputasi berani kerana benar dan telah berulang kali menunjukkan sikap sedia berdepan dengan mana-mana pihak termasuk institusi negara yang cuba memfitnah dan memperlakukan saya dengan tidak benar dan di luar undang-undang," katanya.

“Negara ini perlu terpelihara sebagai negara hukum iaitu kekuasaan dikendalikan oleh hukum dan bukan negara kekuasaan di mana kekuasaan mengatur dan menentukan hukum.

"Malanglah bagi rakyat jika kekuasaan mengatasi hukum," keluh Rosli.

Melalui tindakan undang-undang yang terbaru, peguam tersebut memohon beberapa relif, termasuk arahan certiorari untuk membatalkan tindakan responden pertama hingga kelima di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil dari Tindakan Haram 2001 yang didakwa mengaitkannya secara palsu dengan laporan polis AirAsia.

Rosli juga mendapatkan kebenaran mahkamah untuk membatalkan keputusan pihak berkuasa menahannya termasuk pembekuan 10 akaun bank dan akaun ASNB.

Pada Oktober tahun lalu, firma guaman Rosli telah diserbu SPRM berhubung isu perjanjian penyelesaian bon 1MDB bernilai USD 6.5 bilion (RM30 bilion) antara Malaysia dan firma pelaburan antarabangsa Goldman Sachs.

Selepas serbuan itu, SPRM merujuk ke mahkamah bagi memohon perintah untuk mendapatkan dokumen sulit peguam dan anak guam yang berkaitan dengan perjanjian tersebut.

Bagaimanapun, pada 6 Dis tahun lepas, agensi antirasuah itu menarik permohonan mahkamah tersebut.

[Baca berita asal]