Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Jho Low selalu petik nama orang besar, tak pasti betul atau tidak’

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo mengakui bahawa dia tidak pasti kebenaran di sebalik nama-nama orang besar yang sering dipetik oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

Saksi pendakwaan utama itu memberi keterangan semasa perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.27 bilion hari ini terhadap bekas perdana menteri dan menteri kewangan Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dia menyertai dua lagi saksi pendakwaan 1MDB, bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu dan bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, dalam memberi keterangan mengenai kecenderungan Low untuk memetik nama-nama orang besar dalam mendapatkan perjanjian peringkat antarabangsa yang dikaitkan dengan penyelewengan berbilion ringgit daripada syarikat 1MDB.

Semasa pemeriksaan balas tengah hari ini oleh peguam bela Najib Tania Scivetti, Loo, 50, ditanya jika Low mempunyai kecenderungan mereka-reka cerita untuk memperdayakan orang berpengaruh ke dalam urus niaga yang meragukan bernilai berbilion ringgit.

Scivetti: Jho Low mempunyai kecenderungan untuk mereka cerita dan memetik nama?

Loo: Cerita rekaan saya tidak tahu, tetapi memetik nama ya.

Scivetti: Dari segi memetik nama, anda bersetuju bahawa Jho Low gemar melakukan tindakan sedemikian?

Loo: Ya, tetapi saya tidak tahu kebenarannya sama ada betul atau tidak.

Apabila Scivetti (gambar atas) bertanya jika Loo tahu bila Low bercakap benar, sekutu rapat ahli perniagaan buruan itu mengaku dia sendiri tidak pasti keadaan itu.

Sementara itu semasa perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, Loo menolak dakwaan bahawa pertuduhan jenayah terhadapnya telah digugurkan supaya dia boleh memberi keterangan terhadap Najib.

Loo menjawab dakwaan Scivetti bahawa saksi itu kembali ke Malaysia tahun lepas kerana pihak berkuasa bersetuju untuk menarik balik pertuduhan terhadapnya yang dikaitkan dengan perjanjian bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion.

Scivetti: Pertuduhan terhadap anda di bawah Seksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 tidak diteruskan terhadap anda kerana anda telah bersetuju untuk memberikan keterangan terhadap Najib yang memihak kepada pendakwaan?

Loo: Saya tidak bersetuju.

Loo bagaimanapun mengakui apabila dia kembali ke Malaysia dari Thailand pada Julai tahun lalu selepas meninggalkan negara selama lima tahun, dia telah ‘memberi maklum balas’ kepada pihak berkuasa Malaysia berhubung pertuduhan itu.

Bagaimanapun, tidak jelas pada masa ini jika pertuduhan terhadap Loo masih belum selesai di mahkamah atau telah ditarik balik.

Sejurus selepas Loo meninggalkan Malaysia pada awal 2018, pihak berkuasa Malaysia pada akhir tahun yang sama mengenakan pertuduhan tanpa kehadirannya di mahkamah di bawah Seksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Tuduhan jenayah adalah berhubung perjanjian bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion yang melibatkan bank pelaburan Goldman Sachs International yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan cabang Asianya.

Perbicaraan kes 1MDB di hadapan hakim Sequerah disambung pagi esok.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, bekas menteri kewangan itu dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

[Baca berita asal]