Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri nafi dakwaan Najib dapat layanan 'sangat istimewa' di penjara

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Tiada mana-mana individu, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak menerima layanan istimewa di penjara, kata Menteri Dalam Negeri (KDN) Saifuddin Nasution Ismail.

Mengulas dakwaan penceramah Wan Ji Wan Hussin yang baru saja menghabiskan hukuman penjaranya di Kajang bahawa Najib mendapat layanan sangat istimewa, Saifuddin berkata dia berpegang kepada kenyataan Jabatan Penjara.

Saifuddin Nasution Ismail

“Saya pakai kenyataan Jabatan Penjara (bahawa tiada layanan istimewa terhadap Najib) sebab Jabatan Penjara yang jaga Datuk Seri Najib, pagi, petang, siang dan malam. 24 jam, jadi saya pakai (kenyataan) Jabatan Penjara dan saya berpegang kepada apa kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua pengarah Jabatan Penjara.

“Jabatan Penjara dia ada pegawai dan dia ada blok yang khusus untuk itu dan mereka mengawasi Datuk Seri Najib seperti mana yang (banduan lain) yang diletakkan di penjara, seperti mana yang lain,” katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Putrajaya, hari ini.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini susulan pembebasannya, Wan Ji berkata dia pernah melihat kelibat Najib ketika menjalani hukumannya. 

Dia seterusnya  mendakwa Najib menerima layanan sangat istimewa, berbeza dengan banduan-banduan lain.

Wan Ji Wan Hussin

"Saya biasa nampak dia tak pakai baju banduan macam kita yang lain. Dia pakai biasa sahaja, macam duduk di rumah.

"Bukan pakai sut, tak adalah. Maksudnya dia pakai macam duduk di rumah, saya di situ pakai baju banduan," katanya, sambil menambah Najib ditempatkan di "blok istimewa", berbeza dengannya.

"Memang dia istimewa sangat. Bukan (sekadar) istimewa, tapi istimewa sangat," dakwanya lagi.

Susulan itu, Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Nordin Muhammad pada 29 Mac lalu, memaklumkan semua individu yang menjalani hukuman penjara diuruskan mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Sesiapa sahaja yang menerima hukuman dilayan sama mengikut peraturan ditetapkan.

"Ini termasuklah kepada Najib yang sedang menerima hukuman di Penjara Kajang, beliau tetap tertakluk kepada peraturan dan Akta Penjara 1995," katanya tanpa menghuraikannya.

Najib Razak

Saifuddin ketika diminta mengulas dakwaan bahawa Najib tidak mengenakan pakaian banduan ketika di penjara hari ini, sekadar berkata dia tidak mengetahuinya.

Najib, 70, sedang menjalani hukuman penjara di Kajang selepas gagal dalam usaha terakhirnya  pada Mac tahun lalu  menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng dana anak syarikat 1MDB, SRC International.

Pada 2 Februari lalu, Lembaga Pengampunan membuat keputusan untuk mengurangkan hukuman tersebut kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta.

Dengan itu, Najib dijangka akan dibebaskan pada Ogos 2028. Bagaimanapun, dia boleh dibebaskan lebih awal atas "kelakuan baik" pada Ogos 2026 selepas menjalani dua pertiga dari tempoh hukuman penjara.