Skip to main
Logo Malaysiakini

Akmal ditahan di Kota Kinabalu, 'no fear, no surrender', katanya

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh ditahan polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pagi tadi.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Akmal berkata bahawa ini di sebalik dia dijadual untuk merakam keterangannya di ibu pejabat polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, esok.

“Insya-Allah saya akan berikan kerjasama sepenuhnya. Doakan semuanya dipermudahkan

“Tidak akan berganjak walau seinci dengan pendirian kita,” tulisnya.

Dia juga memuat naik satu rakaman video yang memaparkan penahanan itu.

No fear, no surrender,” katanya sebelum dibawa beredar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sambil tersenyum.

Semalam, aktivis politik dari Sarawak dan Sabah mendesak supaya  Akmal dan empat yang lain yang didakwa mereka sebagai "dalang  peningkatan ketegangan kaum dan agama, serta perselisihan sosial di negara ini", dilarang daripada memasuki kedua-dua negeri di Borneo itu.

Peter John Jaban, Wakil Sapa

Menurut Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sapa) dan Sabah Defenders of Ancestral Lands’ (Mopot) gesaan mereka itu bertujuan untuk melindungi Sarawak dan Sabah daripada potensi gangguan dan risiko kepada perpaduan sosial.

Razarudin Husain

Sementara itu, Ketua Polis Negara,  Razarudin Husain berkata siasatan terhadap Ketua Pemuda Umno itu dilakukan selepas tindakannya berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart.

Katanya, sebanyak dua laporan diterima polis terhadapnya berhubung isu berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

“Siasatan telah dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC) setelah kesemua tindakan melengkapkan siasatan diambil.

“Justeru, orang ramai diingatkan supaya tidak membangkitkan isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah memandangkan mereka terlibat telah dituduh dan proses keadilan akan ditentukan oleh mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.

Isu penjualan beberapa pasang stoking yang tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart baru-baru ini menyaksikan Akmal menjadi watak utama yang mengajak orang ramai memboikot syarikat berkenaan.

Langkah itu diambilnya di sebalik permohonan maaf syarikat berkenaan, selain titah Yang di-Pertuan Agong agar isu berkenaan diredakan. Malah pengasas dan pengarah syarikat tersebut telahpun diheret ke mahkamah.

Gesaan dan kempen boikot tersebut juga menyaksikan sekurang-kurangnya tiga serangan bom petrol dilakukan di tiga premis berasingan KK Mart, masing-masing di Perak, Pahang dan Sarawak.