Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes bunuh Nhaveen: Notis rayu pembebasan diserah pada peguam tertuduh

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Peguam lima individu yang dituduh membunuh T Nhaveen telah diserahkan notis rayuan terhadap pelepasan dan pembebasan mereka oleh Mahkamah Tinggi di George Town.

Pengerusi kumpulan solidariti Liga Tindakan & Siasatan Nhaveen Arun Dorasamy berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) juga sedang menunggu notis penghakiman daripada Mahkamah Tinggi yang sama sebelum ia boleh memutuskan sama ada rayuan itu akan diteruskan atau tidak.

Menurut Arun (gambar judul, tengah) AGC memberi jaminan kepadanya, serta ibu Nhaveen Shanti Dorairaj dan peguamnya bahawa jabatan itu akan melakukan yang terbaik untuk memastikan rayuan diteruskan.

"Notis rayuan telah disampaikan kepada peguam tertuduh," kata Arun memberitahu pemberita hari ini mengenai perkembagan kes tersebut.

Mereka telah bertemu dengan pegawai Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC selama kira-kira 40 minit.

Bagaimanapun, Arun berkata dia tidak dibenarkan menamakan pegawai AGC itu, walaupun mengakui mengenali pegawai berkenaan kerana mereka pernah bekerjasama dalam kes lain.

Hampir 100 penyokong dan ahli keluarga Nhaveen turut hadir pada sidang media di luar AGC.

Mereka memegang plakad menuntut keadilan untuk Nhaveen dan menggesa tertuduh ditangkap.

Nhaveen didakwa dibunuh akibat buli yang ganas.

Tahun lalu, Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid melepas dan membebaskan S Gopinaath, 32, J Ragesuthan, 24, dan S Gokulan, 24, serta dua yang lain, yang merupakan remaja ketika kejadian, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie pada akhir kes pendakwaan.

Lima rakan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Nhaveen berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Jalan Kaki Bukit, Gelugor, antara jam 11 malam dan tengah malam pada 9 Jun 2017.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya ke atas rakan Nhaveen, T Previin, 18, di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Arun berkata, mereka terpaksa datang ke AGC bersama orang ramai pada hari ini berikutan kekecewaan mereka berhubung pertemuan mereka dengan pegawai perhubungan awam dari kamar Selasa lepas.

Mereka telah meminta untuk bertemu dengan Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC Mohd Dusuki Mokhtar dan wakil lain.

Bagaimanapun, AGC hanya menghantar pegawai perhubungan awam, yang dikenali sebagai Mohd Hafiz, untuk bertemu mereka.

Kerana tidak berpuas hati dengan sikap meremehkan itu, kumpulan itu enggan menyerahkan memorandum mereka.

Hari ini, AGC mendedahkan pihaknya sedang menunggu di Mahkamah Tinggi di George Town untuk menghantar rekod rayuan sebelum ia boleh diteruskan, kata Arun.

Ia telah pun menerima alasan penghakiman daripada Mahkamah Tinggi, tambahnya.

[Baca berita penuh]