Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri: Gunakan sukan untuk rapatkan jurang sosial

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

WAWANCARA | Walaupun ramai mengaitkan sukan dengan aktiviti menang dan kalah, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh percaya sukan boleh memainkan peranan menyatukan rakyat, meningkatkan tahap kesihatan, serta merapatkan jurang sosial.

Menurutnya Malaysia mempunyai atlet bertaraf elit dan atlet wanita namun ia perlu kepada insiatif untuk membantu mendekati rakyat daripada kanak-kanak dalam keluarga B40 sehinggalah warga emas.

“Saya benar-benar ingin membantu perjuangan golongan belia sebaik mungkin. Sebab itu salah satu program kita ialah mengajar renang kepada kanak-kanak daripada keluarga B40 yang tinggal di kawasan yang sering berlaku kejadian lemas.

“Kita dapati renang dilihat lebih sebagai sukan kelas pertengahan dan ramai dari kalangan B40 yang tinggal flat PPR tidak mempunyai peluang itu.

“Jadi kita perkenalkan program itu terlebih dahulu untuk mengurangkan bilangan kes lemas tetapi pada masa yang sama kita mengenal pasti bakat baru,” kata Yeoh.

Dia berkata selain mengharapkan kelahiran jaguh renang seperti Nurul Huda Abdullah dan Jeffrey Ong, peminat sukan perlu bertanya apa yang membatasi peluang itu.

"Kita tewas dari segi kiraan pingat kerana sukan-sukan ini. Dan kemudian saya mula melihat ekosistem, struktur sokongan.

"Jika anda mahu orang ramai berenang, anda perlu astikan bahawa ada kolam renang. Bagaimana orang ramai mengakses kolam renang sekarang? Anda tinggal di kondominium atau ada kelab rekreasi tetapi banyak kolam awam telah ditutup kerana penyelenggaraan yang sangat mahal.

"Anda menghalang sebahagian besar penduduk daripada memiliki bakat," katanya,

Dia berkata kementeriannya melihat cara inovatif untuk mewujudkan program bagi kanak-kanak B40 yang tinggal di kawasan yang mempunyai kadar kes lemas yang tinggi.

“Kita biayai kanak-kanak yang mendaftar. Kita ada syarikat seperti Decathlon yang menaja pakaian renang dan cermin mata. Kita ada Allianz Insurance memberikan insurans untuk setiap peserta, dan Milo menyediakan minuman apabila mereka datang untuk latihan. Kita libatkan bekas atlet yang merupakan jurulatih bertauliah,” kata Yeoh.

Menurutnya, semangat membina pasukan dan komuniti datang dengan minat dan matlamat bersama di padang permainan.

“Sekarang kita sedang mengembangkan dan menguji pelajaran renang percuma untuk warga emas dan kanak-kanak kurang berkemampuan di kawasan banjir,” katanya.

Insentif cukai untuk sukan

Yeoh berkata secara keseluruhan, tahun lepas merupakan tahun yang sangat mencabar untuk sukan.

“Ketika saya mulakan tugasan, ada Sukan SEA dan kemudian Sukan Asia dan cuba memahami serta bertemu semua persatuan sukan, dan memahami perjuangan mereka, pada masa yang sama memahami sistem dalam kementerian.

“Ia merupakan keseimbangan yang baik, mendengar pihak berkepentingan dan begitu ramai orang mahu isu diselesaikan. Ada kekangan terutamanya dari segi sumber,” katanya.

Hannah berkata salah satu pembaharuan yang berjaya ialah insentif cukai untuk orang ramai berbelanja bagi aktiviti sukan.

“Apabila saya mula bertugas, penjawat awam beritahu saya sudah lama mereka minta potongan cukai untuk perbelanjaan sukan. Ramai ibu bapa meluangkan masa untuk menemani anak-anak mereka ke kelas bimbingan dan latihan sukan juga perlu perbelanjaan tambahan untuk peralatan.

"Apabila kita melihat bajet yang kita belanjakan setiap tahun untuk penjagaan kesihatan dan berapa banyak yang kita belanjakan untuk pencegahan dan gaya hidup sihat serta memastikan anak-anak kita pasca Covid mengembangkan minat untuk bersukan, maka ia berbaloi untuk dilaburkan," katanya.

Hannah berkata pihaknya bertemu Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri berhubung pengecualian cukai untuk gaya hidup sihat, termasuk latihan sukan sehingga RM1000.

"Saya berharap insentif ini akan digunakan oleh orang yang membayar cukai yang membelanjakan wang untuk tujuan ini bagi membantu Malaysia mempercepat menjadi sebuah negara sukan," tambahnya.

[Baca berita penuh]