Skip to main
Logo Malaysiakini

Ops Bazar Ramadan: Nilai kompaun hampir RM165,000 

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Sebanyak 1,639 saman dikeluarkan bawah Akta Makanan 1983 terhadap peniaga bazar Ramadan di seluruh negara, melibatkan jumlah kompaun RM163,900.

Saman itu dikeluarkan bawah Akta Makanan 1983 susulan pelbagai jenis kesalahan seperti tidak menjalani latihan pengendali makanan, tiada suntikan anti-tifoid dan pakaian pengendali makanan tidak mematuhi peraturan kebersihan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan hari ini, kemungkinan hari terakhir pasar Ramadan berlangsung.

Sementera itu, kementerian juga berkata sehingga 5 April, mereka menerima 29 aduan berkaitan makanan yang dijual di Bazar Ramadan seluruh negara. 

Sebanyak 20 aduan selesai disiasat manakala sembilan lagi dalam proses. 

“Tindakan perundangan telah diambil serta pendidikan keselamatan makanan telah diberikan kepada pengusaha premis terlibat,” kata KKM.

KKM memeriksa 1,299 lokaliti bazar Ramadan di seluruh negara bagi tempoh 12 Mac (hari pertama Ramadan) hingga 5 April (hari ke-25).

Keseluruhan 43,304 premis diperiksa dan tiga buah diarahkan tutup.

Bagi pengendali makanan pula, seramai 85,903 pengendali makanan diperiksa dengan keputusan 94.2 peratus mempunyai suntikan anti-tifoid dan 87.4 peratus menghadiri latihan pengendali makanan.