Skip to main
Logo Malaysiakini

Dakwaan dipinggir - Orang Asli di Johor baiki tandak air, guna batu, kayu

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Penduduk Orang Asli di Kampung Orang Asli Selai di Bekok, Segamat, Johor terpaksa menggunakan kayu dan batu dalam usaha membaiki paip serta kolam takungan (tandak) air mereka.

Bercakap kepada Malaysiakini, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Orang Asli Johor Achai @ Juti Kais berkata ini selepas penduduk kampung dilanda masalah bekalan air dan kekurangan air paip selama setahun.

Achai berkata paip dan empangan yang terletak di Sungai Hantu, pecah selepas banjir melanda kampung itu pada Mac tahun lepas. Katanya, keadaan bertambah buruk dengan banjir lain pada Disember.

"Kami tak ada pilihan lagi... Kita pakat guna kayu, batu untuk buat empang (di sungai)...

"Kami gunakan air sungai untuk masak, minum dan mandi. Walaupun tak berapa bersih, kami gunakan saja.

"Apa lagi yang boleh kami buat," katanya kepada Malaysiakini.

Derma penduduk

Tok Batin (ketua kampung) berusia 61 tahun itu melahirkan rasa kecewa kerana walaupun telah menghubungi Ahli Parlimen Labis Pang Hok Liong, Adun Bekok Tan Chong serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di daerah itu, tiada tindakan diambil untuk menangani kesusahan orang kampung.

Kayu dan batu digunakan untuk membaiki paip dan kolam takungan air di Sungai Hantu.

"Saya menulis surat kepada mereka untuk minta peruntukan RM25,415 untuk kami beli paip baru dan simen tetapi Tan dan Jakoa berkata bahawa kos itu terlalu tinggi.

"Pang pula minta kami buat permohonan di atas nama pengerusi MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) tapi kampung ni tak ada majlis sebegitu.

“Jadi tak ada tindakan yang diambil sehingga sekarang.

"Saya sangat kecewa dengan Pang dan Tan.

Ahli Parlimen Labis Pang Hok Liong.

“Semasa pilihan raya, mereka (Pang dan Tan) datang ke kampung untuk berjumpa kami, kadang-kadang sampai dua kali sehari.

"Tetapi lepas undi, mereka hilang, tak nampak. Macam kacang lupakan kulit," luahnya.

Lantaran itu, Achai bertekad menyelesaikan masalah itu dengan memulakan kutipan derma bagi mengumpul dana untuk membaiki paip dan kolam takungan air yang rosak.

"Jadi kami penduduk Kampung Orang Asli Selai terpaksa kutip RM10 setiap seorang.

"Sekarang paling kurang air sampai ke rumah," jelasnya.

Malaysiakini telah menghubungi Pang dan Tan untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara ini.

[Baca berita asal]