Skip to main
Logo Malaysiakini

Jana Wibawa: Muhyiddin mohon 5 hakim Mahkamah Rayuan dengar semakan

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Muhyiddin Yassin memohon agar lima hakim Mahkamah Rayuan mendengar permohonan semakannya untuk mengembalikan keputusan dilepas dan dibebaskan (DAA) dalam kes salah guna kuasa program Jana Wibawa.

Pasukan pembelaan Muhyiddin membayangkan hasrat itu ketika pengurusan kes permohonan tersebut hari ini.

Mahkamah kemudian memberitahu peguam Muhyiddin agar menulis surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim untuk menimbang permohonan itu.

Mahkamah juga menetapkan 9 Julai ini untuk mendengar permohonan semakan itu.

Perkara itu disahkan peguam Muhyiddin, Chetan Jethwani ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 28 Februari lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan DAA terhadap Muhyiddin yang dibuat Mahkamah Tinggi, dan mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa ke atasnya.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hadhariah Syed Ali hari ini sebulat suara membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Ogos tahun lepas yang membenarkan bekas perdana menteri itu untuk mencabar pertuduhan berkenaan atas alasan ia tidak jelas dan cacat.

Pada 15 Ogos tersebut, hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin memutuskan pertuduhan salah guna kuasa terhadap Muhyiddin adalah cacat dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

Dia juga berkata pertuduhan itu tidak mendedahkan butir-butir yang mencukupi mengenai dakwaan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Muhyiddin masih menghadapi tiga pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram yang belum selesai di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Empat dakwaan salah guna kuasa

Pada Mac tahun lepas, di hadapan Mahkamah Sesyen, Muhyiddin minta dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta yang dikaitkan dengan Jana Wibawa.

Empat pertuduhan salah guna kuasa itu, dirangka mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, menuduhnya menggunakan kedudukan sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu ketika itu untuk suapan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara Mac 1, 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Tiga syarikat itu ialah Bukhary Equity, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd, manakala individu terbabit ialah Azman Yusoff.

Tiga pertuduhan pengubahan wang haram itu dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfpuaa) - dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama .

Muhyiddin didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk Bersatu menerima RM125 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity - antara 25 Feb 2021 hingga 8 Julai 2022.

Tuduhan itu tidak mendakwa bahawa pembayaran dibuat kepadanya.

Wang itu didakwa dicuci dengan menerima wang yang dimasukkan ke dalam akaun Bersatu.

[Baca berita asal]