Skip to main
Logo Malaysiakini

Dasar gaji progresif Rafizi tak serius, kata PSM

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) melihat idea Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam melaksanakan dasar gaji progresif secara sukarela sebagai bersifat tidak serius.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata pendirian itu dibuat kerana formula Rafizi dirangka tanpa melibatkan perbincangan yang menyeluruh dengan NGO dan aktivis kesatuan pekerja.

“Kementerian Ekonomi sebelum ini mendakwa mereka ada membuat perbincangan dengan kesatuan pekerja, namun apabila kami bertanya kepada pihak kesatuan pekerja, mereka menjawab tiada penerangan menyeluruh akan perlaksanaan dasar ini oleh pihak kementerian,” katanya.

Arutchelvan menambah PSM berbincang dengan ramai pakar ekonomi dan rata-rata mereka memberitahu dasar kerajaan itu hanya memberi impak kecil pada kumpulan sasaran.

“Harus saya tekankan bahawa dasar ini hanya bersifat galakan.

"Saya kira syarikat-syarikat swasta pasti akan suka kerana mereka tidak wajib untuk melakukan mengikuti program ini.

“Jangan kita lupa perintah gaji minimum RM1,500 oleh pihak kerajaan pun ada majikan yang tidak laksanakan, inikan pula dasar yang bersifat sukarela.

“Bahkan dasar ini boleh dijadikan satu cara untuk mengelakkan gaji minimum untuk ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Situasi Singapura, Malaysia berbeza

Pada 30 Nov tahun lalu Rafizi membentangkan kertas putih di Dewan Rakyat yang menggariskan rancangannya untuk dasar gaji progresif dengan menyasarkan pekerja berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan di sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Penyertaan dalam program itu adalah atas dasar sukarela, tetapi majikan yang mengambil bahagian akan menerima insentif kewangan daripada kerajaan.

Rafizi mencadangkan majikan terbabit boleh mendapat insentif tetap sehingga RM200 sebulan untuk pekerja peringkat permulaan dan RM300 sebulan untuk pekerja 12 bulan.

Mereka juga akan mendapat kenaikan yang bergantung kepada produktiviti dan kemahiran pekerja.

Syarat lain yang ditetapkan ialah peserta program berkenaan haruslah pekerja tetap yang berkhidmat lebih dari tiga tahun.

Arutchelvan turut mempersoalkan bagaimana dasar tersebut boleh membantu meningkatkan gaji pekerja swasta secara berterusan apabila kerajaan hanya akan memberi suntikan dana sebanyak RM200 ke RM300.

“Selepas setahun tanpa bantuan (insentif) kerajaan, adakah majikan akan terus meningkatkan gaji pekerja?” katanya.

Rafizi Ramli

Bagi Arutchelvan, perlaksanaan idea Rafizi itu tidak dibuat bersama akar umbi kesatuan pekerja tempatan serta hanya menjadikan Singapura sebagai contoh tanpa melihat situasi di Malaysia.

“Di Singapura dasar ini adalah wajib sedangkan kita buat secara sukarela. Jangan kita lupa pendekatan sukarela Singapura pada awalnya gagal.

"Tambahan pula dasar Singapura hanya menyasarkan beberapa sektor sahaja,” katanya,” katanya.

Arutchelvan turut mendakwa idea Rafizi tidak mendapat perhatian serius daripada kerajaan apabila tiada peruntukan dana untuk dasar tersebut dinyatakan dalam Belanjawan 2024.

Selain itu, dakwa Arutchelvan, Kementerian Ekonomi kelihatan melakukan kerja yang sepatutnya dilakukan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Menurut Arutchelvan, dana sebanyak RM2 bilion hingga RM4 bilion yang diperuntukkan untuk insentif dasar berkenaan patut digunakan kerajaan untuk membantu syarikat yang tidak mampu membayar gaji minimum.

“Masalah kos sara hidup rakyat sudah semakin serius sekarang.

"Segera menaikkan gaji minimum ke RM2,000 adalah jalan terbaik," katanya.