Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas MP mohon maaf terpaksa buang beras, barangan dapur

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Bekas ahli parlimen Kuala Krau, Ismail Mohamed Said mengakui barangan keperluan asas yang dibuang di tapak pelupusan sampah haram di Temerloh adalah dari gudang simpanan dikendalikan pihaknya.

Dia berkata barangan terbabit sudah mengalami kerosakan dan tidak selamat untuk diagihkan kepada penduduk sekitar.

Ismail dalam kenyataan turut memohon maaf atas kejadian itu.

"Saya mengambil tanggung jawab penuh terhadap isu pelupusan barangan yang berlaku ini.

"Beras dan barangan dapur ini merupakan stok simpanan yang sentiasa disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika saya menjadi ahli parlimen Kuala Krau.

"Semua barangan ini menggunakan peruntukan peribadi, tidak membabitkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan atau kerajaan Pahang," katanya.

Sejak semalam tular beberapa keping gambar menunjukkan beras dan pelbagai barangan keperluan harian dibuang di tapak pelupusan sampah.

Tapak pelupusan sampah itu terletak di laluan pintasan Rumpun Makmur - Kampung Gunung Senyum, dekat Kuala Krau, Temerloh.

Ismail turut menjelaskan punca barangan terbabit dilupuskan adalah disebabkan penemuan bangkai tikus dan beras dicemari bubuk atau kutu beras.

"Pada 5 April lalu, saya menerima aduan daripada jiran mengenai bau busuk dari gudang simpanan barangan terbabit.

"Hasil siasatan di stor simpanan menemui beberapa ekor bangkai tikus dan beras serta barangan dapur ini dicemari bubuk atau kutu beras, dan tidak sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai.

"Sebahagian daripada beras ini sudah diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar... manakala sebahagian lagi dilupuskan," jelasnya.

Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataannya telah mengambil langkah segera dengan menjalankan siasatan melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Cawangan Temerloh ke lapangan.

Turut hadir ke lokasi adalah pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

"Berdasarkan penemuan awal, pihak KPB Cawangan Temerloh mendapati bahawa beras-beras tersebut telah rosak dan tidak sesuai serta tidak selamat untuk dimakan.

"Oleh itu, KPKM menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu ini memandangkan perkara ini masih dalam siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras, 1994 (Akta 5220)," tegasnya.

Terdahulu, SWCorp Pahang memaklumkan sudah memulakan siasatan berkenaan isu tersebut.

Pengarahnya, Sharudin Hamid berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672).

Dia turut mengesahkan tapak pelupusan sampah haram itu sudah beroperasi sejak 2014 di atas tanah milik Felcra.