Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Alamak adendum lagi

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

PULASAN | "Bukan boleh main pedang-pedang ni. Pedang mainan pun tak boleh... Nanti deme kata rasis!" kata seorang lelaki separuh baya.

Walaupun kata-kata itu bukanlah serius sangat, ia juga bukan gurauan kosong. Ada sinis dan rasa tidak puas hati di situ.

Ia diucapkan ketika dia melihat beberapa pelajar sekolah berasrama sedang gigih merancang dan menyusun atur pelan bagi mencantikkan dorm masing-masing mengikut tema tertentu. Sesuai dengan sifat remaja, mereka membayangkan watak adiwira tertentu.

Pedang adalah salah satu senjata yang cukup banyak digunakan dalam cerita-cerita khayalan di mana-mana saja di dunia. Sama ada di dalam televisyen, layar lebar (pawagam) atau sandiwara politik.

Ia juga muncul ketika seorang demi seorang individu Muslim yang mengaku takutkan neraka tetapi tidak pernah takut untuk menularkan sesuatu cerita yang tidak benar. Lebih malang ia kadang-kadang melibatkan orang yang kelibatnya selalu ada di masjid atau surau untuk solat berjemaah.

Ketika sesetengahnya memang sedar tindakan menular atau berkongsi pautan-pautan kabur kebenaran itu sekadar untuk mencipta naratif tertentu, sebahagian yang lain pula bertindak sama dengan keyakinan bahawa perbuatan itu akan mendapat pahala.

Matlamat mereka cuma satu - mahu membela agama dan bangsa yang katanya sedang teracam.

Teruja pada kisah luar biasa

Tidaklah mereka sedar bahawa tindakan semberono dan tidak cerdik itulah sebenarnya yang mengancam agama dan bangsa. Hal itu kerana sesuatu agama dan bangsa tidak akan terancam atau diketawakan jika ia ditonjolkan secara cerdik.

Keadaan menjadi lebih parah apabila pihak yang berkenaan - dalam konteks ini ialah pegawai masjid atau surau berkaitan - mendiamkan diri saja melihat sekian banyak telatah yang merendahkan martabat manusia.

Tetapi apakah tragedi paling menyayat hati dalam kes ini?

Iaitulah apabila para agamawan sendiri berbondong-bondong berlumba dengan orang kebanyakan untuk mencari 'pahala' dengan menyebarkan pembohongan, kebencian dan pada masa sama membakar jerami perkauman.

Ia tidak ketara jahatnya kerana di sana sini kerja buat mereka dibalut dengan ayat-ayat al-Quran atau hadis. Dan kita yang selalu terpesona dengan kecerdasan P Ramlee akan berkata di dalam hati: "Takkan tok lebai nak menipu!"

Sesetengah kita juga sudah terlalu lazim dibesarkan dengan kisah-kisah luar biasa dan keajaiban itu ini sama ada melalui media cetak atau elektronik (media sosial tidak termasuk kerana ketika itu kemudahan seperti Facebook dan WhatsApp belum muncul).

Yang bernasib baik, akan mendewasa menjadi ustaz. Kalau bertuah, mereka akan digelar tuan guru. Selebihnya menua sebagai pengagum tegar kisa-kisah luar biasa.

Justeru pada hari ini ada sesetengah tokoh dipuja dan dikagumi kerana mampu 'membedah' fakta-fakta sains dengan pelbagai teori konspirasi.

Bahawa sesetengah fakta - khususnya petikan dan pengajaran dibawa melalui al-Quran dan hadis - itu adalah benar tidak menjadikan repekan mereka juga benar.

Kecenderungan itu tidaklah aneh kerana kita juga sekarang tidak lagi terkejut apabila sesuatu dakwaan serius yang melibatkan fakta sejarah atau sains dipertahankan hanya dengan 'fakta' yang dipetik dari Wikipedia serta blog yang tidak berautoriti.

Khayal dengan kisah silam

Maka lengkapkan lelucon anak bangsa: kisah-kisah karut lagi khayal yang keluar dari mulut tokoh tertentu dan didengungkan oleh pembesar suara atau media sosial disambut lalu ditelan oleh orang ramai yang malas berfikir atau membuat rujukan silang.

Sekali lagi kita akan terfikir: Takkan tok lebai nak menipu!

Padahal sesetengah kisah atau perbuatan yang disurahkan oleh 'pendakwah' tertentu itu mendedahkan bahawa sebenarnya jauh di dalam lubuk hati mereka ada gelora yang sedang ditahan-tahan agar tidak terkeluar lalu menjadikan mereka sama saja dengan orang awam.

Atau sebenarnya suatu masa dulu sebelum bergelar ustaz, mereka adalah orang yang gemar mengikuti - dengan rapat - perkembangan dunia seni dan hiburan, termasuk melibatkan artis-artis Barat.

Minat dan gelora itu kemudian 'disakralkan' melalui meja-meja kuliah dan ceramah agama.

Lalu jadilah kita bangsa yang terawang-awang di antara kisah keagungan zaman silam dengan angan-angan bangsa penyelamat dunia.

Di celah-celah kekalutan itu terletak pula sikap suka berbalah untuk hal-hal sepele. Membahaskan lirik, tema atau paparan video lagu raya, misalnya.

Kerana itu kaedah mengekang pembodohan atas nama agama ini wajar digerakkan secepat dan sebijak mungkin. Para imam dan asatizah misalnya, tidak lagi boleh sekadar mengingatkan jemaah mereka supaya "lurus dan rapatkan saf" saja. Juga tidak memadai dengan ingatan "matikan atau tetapkan telefon bimbit masing-masing pada silent mode".

Peringatkan juga para jemaah agar sentiasa bijak menilai sesuatu khabar yang datang kepada mereka melalui media sosial. Jubah, janggut, ketayap, songkok atau serban di kepala semata-mata tidak menjadikan seseorang itu bebas daripada dosa jika mereka berbuat onar.

Barangkali juga petikan dan peringatan seperti biasa daripada hadis Rasulullah SAW: "Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarnya (tanpa tabayyun)" tidak lagi memadai.

Ia perlukan pendekatan yang lebih tegas atau kreatif. Orang ramai sudah mangli dengan pesanan yang diulang-ulang itu kerana mereka yakin "takkan tok lebai nak menipu!"


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang tidak sabar melihat permulaan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.